suria

Malaysia Hanya Mampu Raih Tempat Keempat Piala Axiata

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Malaysia tewas kepada pasukan pilihan Bintang Asia berdasarkan jumlah mata keseluruhan pada perlawanan penentuan tempat ketiga Kejohanan Badminton Piala Axiata 2014.

Pada perlawanan di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, Malaysia terikat 2-2 selepas memenangi dua daripada empat perlawanan yang dipertandingkan.

Namun kemenangan memihak kepada Bintang Asia berdasarkan jumlah mata keseluruhan dalam perlawanan itu selepas mengumpul 147 mata berbanding Malaysia yang hanya mengumpul 140 mata.
 
"Piala Axiata bukanlah sasaran utama semua pasukan yang menyertainya tetapi ia baik untuk pemain-pemain kerana ia melibatkan semangat sepasukan.
 
"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pencapaian pemain-pemain kita. Kita tidak meletakkan sasaran yang tinggi kepada mereka. Berjaya mara ke peringkat separuh akhir adalah satu pencapaian terbaik," kata jurulatih negara Rashid Sidek.
 
Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga itu, kedua-dua pemain perseorangan negara kalah kepada lawan masing-masing.

Chong Wei Feng, yang pada awal menguasai perlawanan, seperti hilang rentak apabila beberapa kali terhenti akibat gangguan lampu gelanggang.

Beliau kalah dalam straight set 20-22 dan 16-21 kepada pemain Hong Kong, Hu Yun disusuli perseorangan wanita, Tee Jing Yi, yang turut kalah kepada pemain Taiwan, Tai Tzu Ying dengan 12-21 dan 8-21.

Malaysia mengutip dua mata selepas beregu lelaki, Tan Boon Heong dan Tan Wee Kiong mengalahkan beregu India, Manu Attri dan Sunmeeth Reddy dengan 21-11 dan 21-13.

Skuad badminton negara menambah lagi dua mata selepas gandingan beregu campuran Chan Peng Soon dan Lai Pei Jing mengalahkan pasangan dari Hong Kong, Lee Chun Hei dan Chau Hoi Wah dengan 21-19, 21-19.
Piala Axiata, Malaysia

Artikel Lain