suria

Piala AFF Suzuki: Jurulatih Vietnam Akui Harimau Malaya Ada Kelebihan

Jurulatih Miura (kiri) bersama kapten pasukan Vietnam sempat memerhati trofi juara Piala AFF Suzuki yang dijulang pasukan Malaysia pada tahun 2010 dipamerkan di Wisma FAM.
PETALING JAYA: Ketua jurulatih Vietnam, Toshiya Miura mengakui pasukan Malaysia tetapi mempunyai kelebihan biarpun dua tonggak utama negara tidak dapat beraksi pada aksi separuh akhir pertama Ahad ini kerana digantung permainan.

Miura berkata, berdasarkan prestasi ketika aksi peringkat kumpulan baru-baru ini, Malaysia mempunyai ramai pemain yang berkebolehan selain Shukor Adan dan Mohd Amri Yahyah.

“Bukan masalah besar untuk pasukan Malaysia walaupun beraksi tanpa mereka. Dan kami akan memberi fokus sebaiknya untuk cuba menang. 

“Saya tidak mahu mengutip 0-0, kami akan cuba mengawal permainan. Namun saya yakin Malaysia mempunyai kelebihan sendiri dengan padang, cuaca serta penyokong,” katanya pada sidang media pada Jumaat.

Mengenai tekanan pada aksi separuh akhir ini, Miura mengakui dia belum merasai sebarang tekanan lagi setakat ini. 

“Setakat ini belum ada tekanan, tetapi ketika perlawanan nanti saya belum pasti. Tekanan sebenar sudah berakhir kerana sasaran kami adalah untuk mara ke separuh akhir dan kami berjaya berada di sini.

“Jadi kami akan bermain sebaik mungkin untuk mara ke final,” tambahnya.

Dalam pada itu, kapten pasukan Le Tan Tai berkata, pretasi Malaysia semakin kuat sejak menjuarai gelaran kejohanan ini pada 2010.

“Kami sedar dengan prestasi Malaysia yang semakin baik. Pun begitu, kami sudah bersedia untuk perlawanan pada Ahad ini. 

“Saya juga berpuashati dengan padang latihan yang disediakan walaupun keadaan cuaca sedikit berbeza. Di Hanoi sekarang cuaca agak sejuk, manakala di sini cuaca panas. Tetapi itu tidak menjadi masalah,” jelasnya.

Tambah Tan Tai, antara pemain Malaysia yang perlu diberi perhatian ialah no.9 (Norshahrul Idlan Talaha), no.10 (Safee Sali), n0.16 (S.Kunanlan) dan no.8 (Safiq Rahim).

Pada aksi persahabatan sebelum ini, skuad Miura ini menumpaskan Harimau Malaya 3-1.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain