suria

Saya Bukan Jurulatih Harimau Muda A - Razip

PETALING JAYA:  Pengendali skuad Bawah 22 Tahun negara, Razip Ismail mendedahkan laporan mengenai pertukaran mengambil alih skuad Harimau Muda A adalah tidak benar.

Jelasnya, ramai yang keliru termasuk dirinya dengan laporan skuad Harimau Muda A yang diuruskan oleh Datuk Ong Kim Swee diberikan kepadanya.

"Saya tidak menerima apa-apa arahan rasmi mengenainya dan saya masih lagi menguruskan pasukan Harimau Muda B atau lebih tepat skuad Bawah 22 Tahun untuk kelayakan Piala Asia AFC.

"Manakala skuad B23 tahun di bawah urusan Datuk Ong untuk persiapan Sukan Olimpik.

"Jadi laporan sebelum ini yang saya mengambil tugas Datuk itu tidak benar," katanya ketika dihubungi mStarOnline pada Jumaat.

Walaupun laporan itu kini menjadi perbualan hangat, Razip mengakui tumpuannya tidak terjejas dalam membuat persiapan pasukan muda negara.

"Saya hanya mengetahui laporan di akhbar itu melalui kawan-kawan saya. Selagi tidak ada arahan rasmi, saya akan teruskan tugas sekarang," tambahnya.

Dalam pada itu menjelang pusingan Kelayakan Piala Asia AFC Bawah 22 Tahun pada 23 hingga 31 Mac depan, Razip mengakui Malaysia berada dalam kumpulan yang sukar.

"Berdasarkan undian yang dibuat semalam (Khamis), saya tidak nafikan bahawa skuad kita berada dalam kumpulan sengit.

"Kita sedia maklum, Jepun merupakan sebuah pasukan gergasi Asia. Dua lagi pasukan (Kumpulan I) termasuk Vietnam dan Macau.

"Kita akan cuba mendapat kedudukan kedua kumpulan untuk layak ke peringkat seterusnya.

"Pun begitu saya tidak nafikan dua lagi pasukan (Vietnam dan Macau) tidak boleh dipandang remeh kerana masing-masing ada kelebihan sendiri.

"Buat masa sekarang seramai 30 pemain muda yang terdiri  dari skuad Harimau Muda A,B,C menjalani latihan Fasa 1. 

"Sesi latihan baharu sahaja bermula dan kami akan memantau beberapa lagi pemain muda sebaik sahaja Liga Malaysia bermula.

"Kita akan gabungkan mereka dan memilih yang terbaik dalam persiapan pasukan menjelang aksi kelayakan ini," jelasnya.

Razip Ismail, Harimau Muda B

Artikel Sebelum

Artikel Lain