suria

Felda United Gugur Tujuh Pemain

KUALA LUMPUR: Felda United FC (FUFC) telah menggugurkan tujuh pemain musim ini termasuk pemain import Uzbekistan, Yaroslav Krushelnitsky, bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.


Tujuh pemain berkenaan adalah Mohd Rahman Zabul, K. Thanaraj, K. Solihin, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal, Muhammad Asyraf Mohd Al Japri, Krushelnitsky serta Mohd Raimi Md Nor yang kembali ke pangkuan Selangor selepas tempoh pinjamannya bersama FUFC tamat.

Pegawai Media FUFC, Suhaimi Ikhsan berkata tujuh pemain berkenaan digugurkan selepas perbincangan lanjut antara pengendali skuad 'The Fighters', Irfan Bakri dan pihak pengurusan FUFC.

"Keputusan ini dibuat bagi memperkuatkan lagi pasukan untuk bersaing di Liga Super 2015. Ini juga seiring dengan misi kelab bagi tahun 2015 iaitu mendapat tempat dalam pertandingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan," kata Suhaimi dalam kenyataan di sini, Khamis.

Berikutan perkembangan terbaru dalam pasukan, katanya, bekas pemain sayap Pahang, Mohd Fauzi Roslan merupakan antara empat muka baharu yang bakal menyertai kelab itu.

Selain Mohd Fauzi, tiga lain ialah Mohamad Rashid Mohamad Aya dari pasukan Sarawak, Mohd Fauzan Dzulkifli (Selangor PKNS FC) dan Mohd Firdaus Mohd Fauzi dari kelab Sime Darby FC.

Sebagai rekod, FUFC layak beraksi dalam Liga Super 2015 selepas muncul naib juara di belakang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Mereka turut muncul naib juara Piala FA selepas kalah 2-1 kepada Pahang pada aksi final pada 7 Jun lepas di Stadium Shah Alam.

Skuad 'The Fighters' bagaimanapun kalah dengan agregat 6-5 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2014.

 

Artikel Lain