suria

Beng Hai Kembali Bimbing Skuad Hoki Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih Tai Beng Hai kembali membimbing skuad hoki senior kebangsaan dan pengendali sementara, Arul Selvaraj kembali memberi tumpuan penuh kepada skuad remaja negara.

Beng Hai akan memegang tugas itu untuk sementara sehingga Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mendapat khidmat jurulatih asing sebagai jurulatih tetap skuad senior.

Timbalan Presiden MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata Beng Hai diberi tanggungjawab mempersiapkan skuad senior bagi menghadapai pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Singapura pada 17 Jan depan.

Menurutnya Arul pula akan terus melatih skuad remaja bagi menghadapi Kejohanan Piala Remaja Asia tahun depan, sekali gus memburu tiket automatik ke Piala Dunia Remaja 2016 di New Delhi.

Perubahan portfolio dua jurulatih itu diputuskan oleh Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, kata Nur Azmi kepada pemberita selepas mepengerusikan mesyuarat pengurusan skuad senior dan remaja kebangsaan di sini, Khamis.

Difahamkan, jurulatih kelahiran Australia, Terry Walsh, yang kini membimbing skuad kebangsaan India, dikatakan berada dalam radar MHC untuk dipilih sebagai ketua jurulatih tetap skuad kebangsaan.

Walsh, bekas jurulatih Malaysia pada 1990 hingga 1993, membawa India menjuarai Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, baru-baru ini.

Pada pusingan kedua Liga Hoki Dunia, lapan negara akan mengambil bahagian iaitu Malaysia, Singapura, Bangladesh, Jepun, Fiji, Oman, Ukraine dan Poland.

Lima pasukan terbaik daripada pusingan kedua itu akan menyertai pasukan tuan rumah ke peringkat separuh akhir pertama dan kedua di Argentina dan Belgium.

Juara dan naib juara pusingan kedua akan menyertai lapan pasukan yang berada di ranking pertama hingga kelapan dunia berserta pasukan tuan rumah akan bersaing dalam peringkat separuh akhir.

Separuh akhir dibahagikan kepada empat kumpulan dan dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak ke pusingan akhir.

Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan iaitu kesemua lapan pasukan akan bersaing dalam pusingan akhir di mana lima pasukan terbaik selain tuan rumah dan juara benua masing-masing akan layak ke Piala Dunia dan Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Sementara itu, Beng Hai ketika ditemui selepas mesyuarat itu, berkata beliau bersedia memikul tanggungjawab itu untuk mempersiapkan pasukan bagi meraih tiket ke Sukan Olimpik 2016.

"Saya tidak akan melakukan banyak perubahan dalam pemilihan pemain tetapi yang penting adalah tahap kecergasan pemain," katanya yang pernah membimbing skuad negara pada 2008 sebelum digantikan dengan jurulatih kelahiran Afrika Selatan, Paul Revington pada 2012.

HKC

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Europa

Artikel Berikut

Felda United Gugur Tujuh Pemain

Artikel Lain