suria

Jangan Cepat Menghukum Dollah - Khairy

TUMPAT: Peminat bola sepak negara diminta supaya jangan cepat menghukum jurulatih Dollah Salleh selepas skuad Harimau Malaya kalah 2-0 kepada Indonesia dalam perlawanan persahabatan pada Ahad.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata Dollah wajar diberi masa dan peluang untuk membentuk pasukan dengan caranya tersendiri kerana beliau baru sahaja mengambil alih tugas tersebut.

"Seperti Luis Van Gaal (pengurus Machester United), pasukan kegemaran saya di England, tewas tiga perlawanan sebelum ini sebelum bangkit mencatat kemenangan bergaya semalam," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi Pengkalan Kubor di sini, Isnin.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya kecundang 1-4 kepada Tajikstan pada 8 Ogos lepas dalam siri perlawanan persahabatan antarabangsa bagi persediaan menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 di Singapura dan Laos dari 22 November hingga 20 Disember ini.

Mengenai kekalahan 3-0 kepada Korea Selatan dalam aksi pembukaan Sukan Asia ke-17 di Inchelon, Korea Selatan pada Ahad, Khairy mengakui pasukan tuan rumah memang hebat.

Katanya skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee masih mempunyai dua perlawanan kumpulan menentang Arab Saudi dan Laos dan mereka perlu menjadikan kekalahan pertama itu untuk bangkit semula dengan prestasi yang lebih baik.

Khairy bagaimanapun memuji skuad bawah 16 tahun negara yang memberi saingan hebat sebelum tunduk 2-1 kepada Australia pada suku akhir kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bangkok,  Ahad.

Beliau berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat membuat perancangan untuk meningkatkan pasukan itu dan kementeriannya akan membantu memastikan skuad kendalian S. Balachandran terus cemerlang pada masa depan.

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Berikut

Artikel Lain