suria

Hanya Chong Wei, Beregu Wanita Dan Campuran Teruskan Cabaran Terbuka India

Lee Chong Wei. Foto AFP

NEW DELHI: Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei tidak perlu bermandi peluh untuk menempah tiket ke suku akhir kejohanan Badminton Siri Super Terbuka India di sini Khamis.

Pemain nombor satu dunia itu hanya 'memanaskan badan' pada pusingan kedua apabila menumpaskan pemain India, Sourabh Varma 21-9, 21-6 dalam masa 23 minit untuk bertemu dengan seorang lagi wakil India, Kashyap Parupalli pada suku akhir pada Jumaat.

"Seperti saya katakan sebelum ini, saya menikmati perlawanan di sini dan esok tidak terkecuali," kata Chong Wei, selaku juara bertahan dan pemain pilihan utama di sini.

Pada peringkat suku akhir, Chong Wei akan diiringi oleh beregu wanita negara Vivian Hoo/Woon Khe Wei serta beregu campuran Chan Peng Soon/Lai Pei Jing.

Beregu wanita negara itu menempah slot suku akhir apabila menyingkirkan beregu Thailand, Aroonkesorn Duanganong/Voravichitchaikul Kunchala dalam pertarungan sengit selama 50 minit sebelum mencatatkan keputusan 14-21, 21-18, 21-14.

Vivian/Woon akan menentang beregu Korea Selatan, Jung Kyung Eun/Kim Ha Na pada pusingan suku akhir.

Dalam perlawanan beregu campuran, pasangan Chan/Lai mengambil masa 33 minit untuk menjinakkan gandingan Korea Selatan, Shin Baek Choel/Eom Hye Won dengan straight set 21-15, 21-10. 

Sementara itu, beregu lelaki negara Goh V Shem/Lim Khim Wah gagal ke suku akhir apabila kalah kepada beregu Korea Selatan Ko Sung Hyun/Shin Baek Choel 18-21, 21-15, 16-21 dalam pertarungan selama 53 minit.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain