suria

Piala Dunia 2014: Fifa Akhirnya Akui Brazil Tidak Sempat Siap 100 Peratus

Masih dalam pembinaan...

BADAN bolasepak dunia - Fifa akhirnya terpaksa mengakui yang Brazil mungkin tidak akan bersiap sedia sepenuhnya menjelang kejohanan itu Jun ini ekoran beberapa buah stadium tidak dapat disiapkan mengikut jadual.

Setiausaha Agung Fifa, Jerome Valcke berkata, dua buah stadium iaitu di Porto Alegre dan Sao Paulo masih belum siap sepenuhnya kerana beberapa penangguhan sebelum ini.

Piala Dunia dijadualkan bermula 12 Jun.

Valcke menegaskan yang Fifa tidak nampak sebarang jalan bagaimana kedua-dua buah stadium itu boleh disiapkan mengikut jadual tetapi pada masa yang sama tidak akan mengubah jadual perlawanan.

"Ya jika anda mahu saya membuat kesimpulan, saya perlu menyatakan yang Brazil tidak dapat menyiapkan persediaan ini sepenuhnya menjelang hari kejohanan bermula," ujar warganegara Perancis itu.

Persediaan Piala Dunia telah dibelenggu oleh beberapa masalah.

Hanya minggu lalu seorang pekerja binaan terbunuh ketika sedang menyiapkan kerja-kerja terakhir di Stadium Sao Paulo Arena Corinthians, yang akan menjadi hos kepada perlawanan pembukaan di antara tuan rumah dengan Croatia.

Kematian tersebut menjadikan jumlah pekerja yang terbunuh di tempat pembinaan stadium yang sama kepada tiga orang. November lalu, dua pekerja terbunuh apabila mereka ditimpa bahan binaan yang sedang dibina di stadium tersebut.

Keseluruhannya lapan orang telah terbunuh sepanjang pembinaan beberapa buah stadium untuk kejohanan empat tahun sekali ini.

Stadium di Porto Alegre masih belum mempunyai kelengkapan bilik media, penaja dan juga peminat. Stadium Beira Rio di bandar itu akan menjadi hos kepada lima perlawanan Piala Dunia.

Piala Dunia 2014, Brazil, Fifa

Artikel Lain