suria

Terengganu Guna Tiga Pemain Import Untuk Kejohanan Piala Agong

KUALA TERENGGANU: Terengganu akan menggunakan khidmat tiga pemain import dalam memperkuatkan pasukan bagi menghadapi Kejohanan Ragbi Piala Agong, bermula Sabtu ini.

Setiausaha Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) Wan Mohd Termizi Wan Jusoh berkata dua daripada pemain itu berasal dari Fiji manakala seorang lagi dari Papua New Guinea.

"Tujuan kita menggunakan khidmat pemain import ini membuktikan bahawa kita benar-benar bersedia menghadapi kejohanan ini setelah tidak menyertai tahun lepas," katanya kepada Bernama, Rabu.

Wan Mohd Tarmizi berkata tiga pemain berkenaan ialah Jonetani Nasia dan Apete Deveta dari Fiji dan Sekewa Eiton dari Papua New Guine, seorang pelajar di Institut Teknologi Petronas.

Menurutnya Jonetani adalah bekas pemain kebangsaan Fiji manakala Apete pula merupakan pemain pasukan kebangsaan Fiji bawah 20 tahun.

Beliau berkata hampir separuh daripada 30 pemain pemain Terengganu terdiri daripada bekas pemain kebangsaan yang mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa.

"Salah seorang pemain tersebut ialah Hafidz Zainal yang pernah bermain dengan pasukan Cobra Selangor tahun lepas," katanya.

Beliau berkata dalam kejohanan secara liga itu, Terengganu ditempatkan dalam kumpulan C bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kedah dan Kuala Lumpur.

Terengganu, yang dibimbing oleh jurulatih Zulkarnain Abdul Wahab, akan membuka kempen dengan menentang Kuala Lumpur di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria Institution (VI) Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Sergio Perez Sah Tinggalkan McLaren

Artikel Lain