suria

Harimau Muda A Rancak Atur Persiapan Sebelum Ke Myanmar

PETALING JAYA: Menjelang Sukan Sea di Myanmar Disember ini, skuad Harimau Muda A atau Bawah 23 Tahun negara rancak mencongak persiapan terakhir bagi memastikan misi mempertahankan pingat emas dicapai.

Pengendali skuad kebangsaan ini, Ong Kim Swee menjelaskan beberapa perlawanan persahabatan dalam dan luar negara telah disenaraikan bagi menguji barisan sebelum bertandang ke Myanmar.

"Pemain-pemain telah berkumpul bagi menjalani latihan pusat sejak 1 Oktober lalu. Pada 8 November ini kami akan terbang ke Amman, Jordan untuk perlawanan persahabatan dengan dua kelab dan dua pasukan Bawah 23 Tahun.

"Selepas itu kami akan kembali ke Malaysia dan pada 21 November hingga 6 Disember kami akan mengadakan dua lagi perlawanan antarabangsa, salah satunya dengan skuad Ryuku FC yang masih menunggu pengesahan, manakala satu lagi akan ditetapkan dalam waktu terdekat," jelasnya pada sidang media mengenai persiapan pasukannya itu.

Dalam pada itu pasukan Harimau Muda A akan melepaskan tiga orang pemainnya yang berumur 23 tahun iaitu Izzaq Faris Ramlan, Muhammad Syahid Zaidon dan Muhammad Hazwan Rahman.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihak pengurusan telah mengambil keputusan untuk melepas pemain-pemain tersebut kerana telah tamat umur bersama skuad Harimau Muda A.

"Bagi tempoh 2014/15 tiga pemain ini telah mencecah usia 23 tahun. Walaubagaimanapun pihak pengurusan juga bersetuju untuk memberi pilihan kepada enam lagi pemain (berumur 22 tahun) untuk kekal bersama pasukan ini atau kembali ke kelab masing-masing.

"Pemain-pemain itu akan dipanggil sekiranya khidmat mereka diperlukan bagi menghadapi perlawanan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan tahun depan " jelasnya.

Enam pemain yang diberi pilihan kekal atau kembali ke kelab masing-masing ialah Mohd Irfan Fazail, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Mohd Izham Tarmizi Roslan Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri.

Pemain-pemain yang dikekalkan:

Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Mohamad Fandi Othman, Gary Steven Robbat, Mohd Amar Saidin, Mohammad Ferris Danial Mat Nasir, D. Saarvidran, Md Rozaimi Abdul Rahman, Muhammad Nurridzuan Abu Hassan, Saiful Ridzuwan Selamat, Syahrul Azwari Ibrahim, Shahrul Mohd Saad, Mohd Farhan Abu Bakar, Kenny Pallraj, Mohamad Firdaus, Wan Ahmad Amirzafran, Muhammad Ariff, Adam Nor Azlin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain