suria

Dua Pakar Pecut Tidak Disenarai Ke Sukan SEA Myanmar

KUALA LUMPUR: Dua pakar pecut negara, Anuar Manan dan Mohd Harrif Salleh serta pelumba senior Suhardi Hassan tidak disenaraikan dalam skuad berbasikal lebuh raya negara untuk temasya Sukan SEA 2013 Myanmar dari 11 hingga 22 Disember ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abdul Wahab berkata, pemilihan sembilan daripada 12 pelumba yang disenarai pendek itu adalah berdasarkan kesesuaian laluan yang bakal ditempuhi pada Sukan SEA.

"Kita tidak menafikan kepakaran Anuar dan Mohd Harrif sebagai pakar pecut. Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kepada pendakian pada 40km awal perlumbaan. Kita takut mereka tidak dapat melepasi pendakian itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan PKBM di Wisma OCM di sini, Isnin.

Pelumba yang terpilih ialah Mohd Fauzan Ahmad Lufti, Mohamad Rauf Nur Misbah, Mohd Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli, Mohd Shahrul Mat Amin, Loh Sea Keong, Muhamad Saufi Mat Senan, Mohd Zamri Salleh dan Nik Mohd Azwan Zulkifli.

Abu Samah berkata, skuad negara itu akan memulakan latihan di Bukit Tinggi, Pahang mulai Khamis ini sementara menunggu keputusan kerajaan Myanmar memberi kebenaran berlatih di laluan yang akan digunakan semasa temasya tersebut.

Beliau berkata, PKBM telah meletakkan sasaran dua pingat emas untuk skuad lebuh raya itu.

Sementara skuad elit wanita pula menyandarkan harapan di bahu Maziyaton Mohd Radzi, Nusyazwana Jamil, Grace Phang Cing Zhen, Nurul Suhada Zainal, Mariana Mohammad dan Carolline George.

Maziyaton juga akan berganding dengan Junaidah Jus dalam acara basikal bukit (MTB).

Cabaran negara dalam kategori MTB lelaki akan digalas oleh Shahrin Amir, Mohd Zulhafiz Saifudin, Shahril Aizat Nazali dan Mohd Harif Jamaludin.

Skuad berbasikal negara turut menghantar wakil dalam acara BMX dan akan diwakili oleh Mohd Elmi Jumari dan Mohd Arif Jamaludin. - BERNAMA

Artikel Lain