suria

FAM Tidak Terima Aduan Rasmi Berhubung Insiden Kekasaran Indra Putra

KELANA JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung insiden kekasaran melibatkan penyerang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin yang menyiku muka Norshahrul Idlan Talaha sehingga menyebabkan pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu cedera di hidung.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata badan induk itu menerima laporan daripada pegawai perlawanan, namun tidak dinyatakan mengenai insiden tersebut.

"Setakat ini, FAM tidak menerima apa-apa aduan kekerasan pemain daripada kedua-dua pasukan, namun FAM akan melakukan siasatan secara adil sekiranya terdapat aduan selepas ini," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Indra Putra sebelum ini, menafikan beliau sengaja mencederakan bekas rakan sepasukanya itu dalam saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu pada Sabtu lepas.

Norshahrul yang mengalami kecederaan terpaksa mendapat rawatan susulan insiden berkenaan.

Disebabkan tiada aduan rasmi, Hamidin berkata FAM tidak akan membuat apa-apa tuduhan terhadap penyerang Kelantan itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata setakat ini, FAM tidak menerima sebarang bantahan berhubung perubahan venue perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam pada 18 Oktober.

"Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM tidak menerima sebarang bantahan kerana perkara tersebut mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak, baik Kelantan mahupun ATM sebagai tuan rumah," katanya.

Pada Isnin, FAM mengumumkan gelanggang separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Kelantan menentang ATM diubah dari Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ke Stadium Shah Alam kerana menjangkakan kehadiran penyokong yang ramai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain