suria

Hoki Piala Sultan Johor: Malaysia Mula Misi Atasi Jerman 3-2

JOHOR BAHARU: Malaysia memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Johor dengan langkah kanan apabila menundukkan Jerman 3-2 pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun di Stadium Hoki Taman Daya di sini, Ahad.

Malaysia, yang menampilkan permainan berhati-hati pada babak pertama, menerima padah apabila Jerman menyumbat dua gol menerusi jaringan sudut penalti oleh Tom Grambusch pada minit ke-18 dan Tompertz Moritz pada minit ke-23.

Ketinggalan 2-0 pada babak pertama ternyata tidak melemahkan semangat pasukan kendalian jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah apabila bangkit mengubah taktik perlawanan pada separuh masa kedua.

Perubahan taktik permainan mula membuahkan hasil apabila Mohd Syamin Yusof merapatkan jurang jaringan pada minit ke-38 sebelum kapten pasukan, Muhammad Noor Faeez Ibrahim menyamakan kedudukan pada minit ke-49.

Malaysia terus melakukan asakan ke benteng pertahanan Jerman yang dilihat semakin goyah pada minit-minit terakhir perlawanan sebelum Muhammad Ramdhan Rosli muncul wira skuad negara dengan jaringan pada minit ke-67.

Aksi cemerlang pasukan negara turut mendapat tepukan daripada Presiden Konfederasi Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Syah yang hadir menyaksikan perlawanan pembukaan skuad negara itu.

Muhammad Dharma Raj mengakui anak didiknya terlalu berhati-hati pada separuh masa pertama.

"Mereka dilihat agak gementar pada aksi pembukaan dan kurang menyerang. Namun setelah ketinggalan 0-2 kita berusaha untuk mencapai kemenangan pada separuh masa kedua, mengubah taktik perlawanan dengan menyerang ke kubu lawan," katanya.

Malaysia akan menentang New Zealand pada pukul 8.05 malam Isnin.

Sebelum itu, dalam perlawanan pembukaan, pasukan Pakistan gagal mengekalkan kedudukan selesa 3-0 pada babak pertama sebelum New Zealand bangkit menyamakan kedudukan 3-3 pada sepenuh masa.

Dalam perlawanan kedua pula, India melakukan kejutan apabila mengalahkan naib juara Australia 2-0.

Pada Isnin, Australia akan menentang Pakistan pada pukul 4.05 petang manakala India bertemu Jerman pada pukul 6.05 petang.

Kejohanan edisi kedua itu disertai oleh enam pasukan iaitu tuan rumah Malaysia, India, Pakistan, Jerman, Australia dan New Zealand. Pada tahun lepas, Malaysia muncul juara apabila mengalahkan Australia 3-2 dalam perlawanan akhir masa tambahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain