suria

Atlet Pelapis Olahraga Kebangsaan Lakar Kejutan

KUALA LUMPUR: Atlet pelapis olahraga kebangsaan, Nurul Faizah Asma Mazlan melakar kejutan menewaskan atlet elit Nurul Sarah Abdul Kadir dalam acara 200 meter wanita di temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) pada Ahad.

Pada acara yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) itu, Nurul Faizah, atlet Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) cemerlang dengan catatan masa 26.21 saat meninggalkan Nurul Sarah dari Universiti Putra Malaysia (UPM), pemenang pingat perak dengan 26.65s.

Nor Atikah Awang dari UNIMAP meraih pingat gangsa dengan catatan masa 27.29s pada acara olahraga yang menutup tirainya hari ini.

"Kemenangan ini satu kejutan buat saya kerana pertama kali kalahkan Nurul Sarah, bagaimanapun ia bukan catatan masa terbaik saya kerana sebelum ini saya pernah buat 25.30s ketika beraksi di Kejohanan Terbuka Negeri Sembilan tahun ini.

"Acara pilihan saya adalah 400m, jadi kemenangan hari ini adalah kelebihan buat saya kerana saya masih bertenaga sehingga ke garisan penamat. Acara 200m adalah acara sampingan sahaja," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Nurul Faizah turut menyumbang tiga pingat emas buat UPM dalam acara 400m, 4x100m lari berganti dan 4x400m lari berganti.

Sementara itu, S.Kannathasan, atlet UPM meraih emas bagi acara 200m lelaki dengan catatan masa 22.00s menewaskan rakan sepasukannya S.Kannan dengan perbezaan 0.02 saat.

Mohd Azhar Mohd Ismail dari Kolej Komuniti Pahang meraih gangsa dengan 22.21s.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian hari ini, bagaimanapun bukan catatan masa yang terbaik. Acara bermula pagi tadi, jadi keadaan cuaca sejuk dan mempengaruhi larian saya hari ini.

"Sasaran saya selepas ini adalah membuat catatan masa terbaik di temasya Sukan Universiti Asean (AUG) bulan depan dan menyumbang pingat buat negara. Sebelum itu, saya akan menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Macau hujung bulan ini," kata Kannathasan, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer UPM.

Secara keseluruhan, UPM mendominasi acara olahraga dengan 14 pingat emas, 12 perak dan tiga gangsa, diikuti UNIMAP dengan 12 emas, satu perak dan empat gangsa.

Kolej Komuniti Pulau Pinang menyusul dengan dua emas, tiga perak dan empat gangsa.

Bagi acara sepak takraw lelaki, trio UiTM meraih emas menewaskan trio Kolej Komuniti Kedah, pemenang pingat perak, dengan 11-15, 15-13 dan 15-5 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan UiTM, Shah Alam.

Pingat gangsa disandang pasukan UNIMAP setelah menundukkan trio UPM 15-6 dan 15-3. - BERNAMA

Artikel Sebelum

UPM Juara Keseluruhan SUKIPT 2012

Artikel Berikut

Keputusan Liga Europah

Artikel Lain