suria

Paintball: Nemesis Legion Catat Rekod Tanpa Kalah, Mara Ke Suku Akhir

LANGKAWI: Pasukan tempatan, Nemesis Legion tidak menghadapi masalah untuk mara ke pusingan suku akhir bagi kategori Divisyen 1 selepas berjaya mengumpul lima kemenangan pada aksi pusingan awal Kejohanan Paintball Piala Dunia Asia (WCA) yang kini sedang rancak berlangsung di Dewan Mahsuri, Langkawi.

Ini bermakna, pasukan juara Liga Paintball Malaysia 2012 ini semakin menghampiri sasaran mereka untuk mara ke pusingan separuh akhir musim ini.

Dengan rekod tanpa kalah pada aksi pusingan awal, Nemesis terus menaruh harapan tinggi untuk mengutip kemenangan dalam pusingan suku akhir nanti.

"Kami perlu mencatat tiga kemenangan sekiranya mahu terus mara ke separuh akhir.

"Pasukan saya juga akan cuba habiskan permainan satu persatu seperti mana yang kami lakukan sebelum ini.

"Tahun lalu kami terkandas di pusingan suku akhir dan besar harapan saya agar tahun ini kami mampu melepasi pusingan ini sekaligus ke peringkat seterusnya, " jelas kapten pasukan, Mohd Rezal Jamaluddin.

Rezal juga mengakui, saingan suku akhir bukanlah mudah kerana setiap pasukan semakin mantap.

"Kami akan kekalkan corak dan taktik permainan serta cuba konsisten setiap perlawanan," katanya.

Ditanya mengenai rahsia kemenangan pasukan ini, Rezal,38, berkata, sikap saling mempercayai rakan sepasukan adalah yang paling diutamakan.

"Kami telah lama bersama dan sudah tahu peranan masing-masing. Selain itu sifat percaya pada diri sendiri juga penting dalam setiap keputusan yang dibuat ketika dalam perlawanan, " jelas pemain kelahiran Kuala Lumpur ini.

Sepanjang aksi pusingan awal ini, Nemesis Legion berjaya menewaskan Lost Boyz (4-0), STK (4-2), Poison Ivy (4-0), Outkast (4-0) dan Demonz, 4-1.

Berikut adalah 12 daripada 19 pasukan yang layak beraksi ke pusingan suku akhir:

1.Nemesis Legion

2. Infernal

3.Sydney Swat

4. STK

5. Canberra Crusaders

6. Datis

7. Demonz Red

8. Lost Boyz

9. Xtioneers

10. Demonz

11. South America North Stars

12. Macdev Ronin

(Kedudukan sehingga 7 mlm, Sabtu)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain