suria

Sains Sukan Penting Bagi Peningkatan Prestasi Atlet

KUALA LUMPUR: Bengkel 'Post Performance' Road To London 2012 (RTL 2012) yang dianjurkan oleh Institut Sukan Negara (ISN) pada Khamis telah menekankan pentingnya Sains Sukan dalam peningkatan prestasi atlet negara.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Shapawi Ismail berkata, bengkel ini merangkumi segala aspek termasuk perbincangan mengenai kelemahan-kelemahan ketika program itu dilaksanakan bagi persiapan ke London baru-baru ini.

"Secara keseluruhan bengkel ini telah membincangkan kelemahan yang ada pada RTL 2012 yang mana ia melibatkan pakar sains, perubatan sukan, pasukan Prestasi Tinggi (HPT), jurulatih, pegawai Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Sukan, wakil IPTS/IPTA dan media.

"Dengan adanya bengkel ini, secara jelasnya atlet-atlet negara kita masih belum cukup mengaplikasikan Sains Sukan dalam acara masing-masing.

"Hanya beberapa orang jurulatih sahaja yang betul- betul menggunakan kemudahan atau perkhidmatan Sains Sukan yang disediakan," katanya pada sidang media selepas tamat sesi Forum Terbuka Post Performance RTL 2012.

Ahmad Shapawi berkata, kelemahan program RTL 2012 gagal mencapai objektif utamanya untuk meraih pingat emas, namun ia bukanlah sesuatu yang negatif kerana dengan itu pihaknya dapat merancang kembali program yang lebih baik untuk masa depan.

"Kepakaran dalam Sains Sukan agak terhad di sini berbanding negara lain, tetapi sebenarnya ia amat penting lebih-lebih kepada jurulatih.

"Ini kerana hanya jurulatih sahaja yang tahu apa kelemahan yang perlu diperbaiki kerana mereka lebih rapat dengan atlet sendiri.

"Berbeza dengan sukan basikal kerana jurulatih mereka, John Beasley telah menggunakan khidmat atau program Sains Sukan sepenuhnya kepada atlet mereka.

"Bengkel ini juga bukan hanya tertumpu kepada kelamahan yang ada, tetapi berbincang bagaimana prestasi seseorang atlet itu dapat ditingkatkan.

"Dan sebab itu jugalah kami bersedia merangka program jangka panjang yang tidak hanya tertumpu kepada Road To Rio 2016 sahaja.

"Buat pertama kalinya kami merancang program sehingga tahun 2020," jelasnya.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan badminton negara, Rashid Sidek mengakui bengkel yang dianjurkan ini amat bagus bagi menilai kembali kelemahan yang ada serta merangka kembali program bagi 2016.

"Bengkel baru sahaja bermula hari ini, namun saya akui ia satu langkah yang baik.

"Saya akui sains sukan banyak membantu dalam peningkatan prestasi atlet dan ia telah terbukti kepada Datuk Lee Chong Wei yang lebih 10 tahun menggunakan khidmat Sains Sukan.

"Bagi saya, sukan badminton tidak ada masalah untuk melaksanakan sains sukan, malah pemain-pemain baru juga turut didedahkan dengan bidang ini," katanya.

Bengkel yang dianjurkan selama dua hari ini melibatkan beberapa orang panel termasuk Pengarah Cawangan Elit,MSN Ariffin Mohd Ghani , Datuk Dr Ramlan Abd Aziz (Penasihat Menteri Perubatan Sukan RTL 2012) serta Sean Sturgess (HP RTL 2012,ISN).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain