suria

Ian James Dan Farah Ann Dinobatkan Putera, Puteri MSSM 2011

ALOR SETAR: Perenang negara Ian James Barr, 17, dan gimnas Farah Ann Abdul Hadi, 18, diumumkan sebagai Putera dan Puteri Sukan, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) bagi 2011.

Anugerah disampaikan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud, di sini malam Jumaat.

Ian James yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist, Kuala Lumpur, dipilih berdasarkan pencapaian cemerlangnya dalam sukan renang sehingga memecahkan beberapa rekod kebangsaan dan Asia tahun lalu.

Beliau yang mula menceburi sukan renang sejak berumur lapan tahun,menyumbang pingat gangsa dalam acara 200 meter rampaian perseorangan dan 4 x 100 meter rampaian berganti-ganti pada Sukan SEA Indonesia, November lepas.

Selain itu, beliau juga menggondol pingat emas, perak dan gangsa pada kejohanan SEA Age Group Championship, 3rd Asean Schools Games Singapore, Malaysia Open, Kejohanan Akuatik MSSM dan Kejohanan Peringkat Umur Kebangsaan.

Ian James yang dibimbing jurulatih renang dari Australia, Paul Thomas Birmingham, turut mencipta rekod baru kebangsaan dalam acara 200 meter rampaian perseorangan, 50m, 100m dan 200m kuak lentang dan 4x100m rampaian dan gaya bebas berganti-ganti.

"Terima kasih kepada keluarga dan jurulatih yang memberi sokongan kepada saya sehingga memperoleh kejayaan dalam sukan renang ini dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk kejohanan yang akan datang," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis itu.

Sementara itu, Farah Ann dari Sekolah Sukan Bukit Jalil yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berkata beliau amat terkejut kerana dipilih memenangi anugerah tersebut buat kali pertama.

Ini juga anugerah pertama diperolehinya sejak membabitkan diri dalam sukan itu dan menjadi pembakar semangat untuknya menggondol emas dalam beberapa kejohanan yang bakal disertainya tahun ini.

Katanya beliau kini menumpukan perhatian kepada latihan untuk menyertai kejohanan Asian School Games di Indonesia tahun ini dan mensasarkan pingat emas pada Sukan SEA di Myanmar pada 2013.

Farah menyumbang pingat perak acara uneven bar pada sukan SEA Indonesia tahun lalu. Beliau juga turut menggondol emas pada 3rd Asean Schools Games Singapore, Kejohanan Gimnastik Artistik MSSM dan Kejohanan Gimnastik Kebangsaan.

SENARAI PENERIMA ANUGERAH SUKAN MSSM-MILO 2011:

Anugerah Putera:

Ian James Barr (Renang)

Anugerah Puteri:

Farah Ann Abdul Hadi (Gimnastik)

Pendidikan Khas:

Putera: Yeoh Kok Soon (Olahraga)

Puteri: Norlela Jilani (Olahraga)

Anugerah Khas:

Putera: Muhammad Zuyad Muhammad Hamzah (Ekuin)

Puteri: Tai Cheau Xuen (Wushu)

Tunas Harapan:

Putera: Muhammad Sarifuddin Munawwir Ahmad Fuad (Catur)

Puteri: S. Siivasangari (Skuasy)

Pendidikan Khas:

Putera: Mohamad Rafiq Nasyreen Mat Ropi (Balapan dan Padang)

Puteri: Norsuhana Ramlan (Balapan dan Padang)

Guru Berjasa:

Lelaki: Ithnin Mahadi (Jurulatih Balapan dan Padang)

Wanita: Lim Chew Sim (Jurulatih Bola Jaring)

Tokoh Kepimpinan

Datuk Ahmad Shafie (Sukan Bola Sepak)

-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain