suria

Bapa Mahu Zulfadli Dalam Ranking Bawah 100 Dunia Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Juara badminton remaja dunia Zulfadli Zulkiffli akan berusaha memperbaiki kedudukan rankingnya menerusi beberapa kejohanan badminton bertaraf elit yang akan disertainya tahun ini.

Bapa pemain itu, Zulkiffli Sidek, berkata buat permulaan beliau akan menghantar anaknya menyertai dua kejohanan badminton elit di Eropah awal bulan depan bagi memastikan pemain ranking ke-124 dunia itu mampu menempatkan diri dalam 100 pemain terbaik dunia menjelang hujung tahun ini.

Dua kejohanan itu ialah Kejohanan GP Emas Terbuka Jerman dari 28 Feb hingga 4 Mac dan Terbuka Switzerland dari 13 hingga 18 Mac.

"Saya tidak meletakkan sasaran tinggi kepada Zulfadli untuk dua kejohanan itu, namun apa yang penting kepada saya ialah beliau mampu mengekalkan prestasi ketika ini," katanya kepada Bernama.

Zulkiffli, 48, yang juga jurulatih sepenuh masa dengan Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), berkata kedudukan ranking 100 pemain terbaik dunia itu juga penting buat anaknya yang berusia 19 tahun itu bagi mencerahkan peluangnya untuk bermain buat kali pertama dalam kejohanan badminton berprestij, All-England tahun depan.

"Kebiasaannya, hanya 100 pemain terbaik dunia mengikut ranking layak menyertai kejohanan badminton itu (All-England), jadi saya berharap Zulfadli mampu mencapai ranking sebelum penghujung tahun ini," katanya.

Mengulas mengenai kejohanan lain yang bakal disertai juara remaja Asia itu, Zulkiffli berkata beliau perlu membuat penilaian prestasi Zulfadli dalam dua kejohanan itu sebelum menghantarnya ke kejohanan badminton lain tahun ini.

"Saya hanya akan membuat keputusan untuk menghantar Zulfadli ke beberapa kejohanan selepas saya melihat prestasi dia dalam dua kejohanan ini.

"Tiada gunanya saya menghantarnya ke mana-mana kejohanan badminton, tetapi prestasinya tidak menentu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain