suria

Brunei Ingin Belajar Penerapan Sains Sukan Atlet Malaysia

PUTRAJAYA: Brunei merancang menempatkan atletnya di Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi mempelajari kaedah sains sukan yang diterapkan kepada atlet Malaysia.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei (KKBS) Datuk Seri Setia Awang Hazair Abdullah berkata pihaknya kagum dengan kaedah yang diguna pakai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia dalam memantapkan pencapaian atlet melalui teknologi dan sains sukan.

"Selain itu, kami mahu mempelajari inisiatif KBS membangunkan golongan belia negara ini yang perlu dicontohi oleh negara-negara Asean lain bagi menjamin pembangunan golongan belia di rantau ini," katanya kepada kepada pemberita selepas mengunjungi Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di pejabatnya di sini, Jumaat.

Awang Hazair berkata Brunei bercadang menghantar sejumlah belia negara itu menyertai sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2012 yang akan diadakan di Putrajaya pada 23 hingga 27 Mei depan.

Pada Jun tahun lepas Malaysia dan Brunei menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) merangkumi kerjasama di bidang sukan dan kegiatan belia kedua-dua negara.

Dalam pada itu Ahmad Shabery berkata kerjasama dengan KKBS akan membolehkan atlet di Sabah dan Sarawak menggunakan prasarana sukan yang ada di Brunei.

"Kerjasama ini masih di peringkat perancangan selepas kedua-dua negara menandatangani satu memorandum persefahaman ketika kunjungan saya ke Brunei pada Jun tahun lepas," kata Ahmad Shabery.

Beliau berkata hasrat Malaysia menjadikan sukan sebagai satu industri dan mengembangkan idea tersebut ke rantau Asean turut mendapat perhatian dan sokongan Brunei.

Seramai 11 orang anggota rombongan dari KKBS Brunei kini dalam rangka lawatan lima hari ke Malaysia, bermula pada Rabu, bagi meninjau operasi KBS dan agensi di bawah kementerian itu. -BERNAMA

Artikel Lain