suria

Kecam KOM: Noraseela Diberi Surat Tunjuk Sebab

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Noraseela Mohd Khalid, susulan kenyataannya yang mengecam badan induk olahraga negara itu.

KOM dalam satu kenyataan kepada Bernama, di sini hari, berkata surat bertarikh 12 Dis itu dikeluarkan susulan keputusan satu mesyuarat majlis yang diadakan pada 10 Dis lepas di Kangar, Perlis.

Pemenang pingat emas acara 400 meter berpagar wanita itu diberi masa 14 hari daripada tarikh beliau menerima surat tersebut untuk memberi jawapan, kata KOM.

Noraseela, 32, dikatakan mengeluarkan kenyataan kepada media mengkritik pengurusan KOM yang disifatkan beliau tidak menghargai jasa dan pengorbanan atlet olahraga.

Beliau berkata demikian kepada media sejurus selepas berjaya mempertahankan pingat emas 400 meter lari berpagar wanita pada temasya Sukan SEA di Indonesia, bulan lepas.

Antaranya, beliau dipetik berkata banyak masalah melibatkan atlet olahraga timbul akibat sikap negatif sesetengah pihak dalam kesatuan itu, sehingga menjejaskan kemajuan atlet dan sukan olahraga negara secara amnya.

Sementara itu, Noraseela ketika dihubungi mengesahkan telah menerima surat berkenaan minggu lepas namun enggan mengulas lanjut.

"Jika mereka nak selesaikan masalah ini, datanglah berjumpa saya. Mereka nak saya balas surat itu, saya akan balas," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain