suria

Sukan Sea: Tujuh Pingat Emas Diraih Dalam Acara Berbasikal Trek

JAKARTA: Atlet berbasikal negara menyapu tiga lagi pingat emas menerusi acara berbasikal trek, menjadikan empat pingat emas pada hari terakhir Sukan SEA ke26 dan sejumlah tujuh emas berjaya ditawan dalam acara ini, Isnin.

Dalam perlumbaan di Velodrom Rawamangun dekat sini, Jalur Gemilang berkibar dan lagu 'Negaraku' berkumandang sebanyak empat kali menerusi kategori Sprint Individu wanita, Sprint Individu Lelaki, Berpasukan Sprint Wanita dan Omnium lelaki pada sebelah pagi.

Pelumba negara yang berpangkalan di Melbourne, Australia Fatehah Mustapa mempamerkan aksi bertenaga untuk meraih emas dalam Sprint Individu wanita, menewaskan pelumba Filipina Apryl Eppinger yang mendapat perak sementara pelumba tuan rumah, Santia Tri Kusuma meraih gangsa.

Fatehah, 22, menggunakan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa yang ternyata memberi kelebihan apabila gandingan beliau bersama Ju Pha Som Net dalam acara Berpasukan Sprint Wanita membuahkan satu lagi pingat emas buat negara.

Pingat perak diraih atlet Thailand Chanakan Sricha Um-Jutatip Maneephan sementara atlet tuan rumah Santia Tri Kusuma-Riska Agustin mendapat gangsa.

"Sangat puas hati walaupun letih. Saya terpaksa kerahkan semua keringat bagi memastikan kita berjaya bawa pulang pingat, dan ia sangat berbaloi," kata Fatehah kepada pemberita sebelum majlis penyampaian pingat kepada pelumba.

Acara lelaki turut menyaksikan atlet negara Muhd Idros Md Yunos dan Mohd Fattah Amri Zaid mendominasi pingat emas dan perak menerusi acara Sprint Individu Lelaki, menewaskan pesaing ketiga dari Thailand Satjakul Sianglam, yang terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Hasrat Malaysia menambah pungutan pingat dalam 30 kilometer Point Race lelaki bagaimanapun tidak berhasil apabila pelumba elit negara Muhamad Adiq Husainie Othman terpaksa berpuas hati di tempat kedua setelah tewas kepada Renee Mier Lohn dari Filipina.

Pingat gangsa diraih pelumba Indonesia Faroka Rully Ifnu.-BERNAMA

Artikel Berikut

Emas Ke-50 Milik Malaysia

Artikel Lain