Masum Hantar 227 Atlet ke Chiangmai - Sukan | mStar

Masum Hantar 227 Atlet ke Chiangmai

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) akan menghantar 227 atlet ke temasya Sukan Universiti ASEAN (SUA) ke-15 di Chiangmai, Thailand, mulai 14 hingga 23 Disember ini.

Penyelaras media MASUM Mohd Khazani Ibrahim berkata Malaysia akan mengambil bahagian dalam 15 daripada 16 acara yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, Malaysia tidak menyertai acara tenis.

"Sebanyak 10 negara ASEAN dan Timor Leste akan menyertai temasya itu dengan saingan sengit dijangka daripada Thailand, Vietnam dan Indonesia," katanya, Ahad.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Perkampungan Latihan Pusat Kontinjen Universiti Malaysia di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, dekat sini.

Mohd Khazani berkata Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara olahraga, badminton, bola sepak, sepak takraw, bola keranjang, bola tampar pantai, bola tampar dewan, pencak silat, futsal, golf, karate, renang, taekwondo, ping pong dan tenpin boling.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof Tan Sri Dr Nik Mustapha R. Abdullah berkata program latihan pusat itu bermula semalam hingga 12 Dis ini bagi menyediakan atlet ke temasya sukan itu.

Kejohanan dwitahunan itu merupakan kejohanan sukan yang melibatkan penyertaan Majlis Sukan Universitii ASEAN di bawah pengendalian Anggota Majlis SUA.

Pada edisi lepas di Lembah Klang pada 2008, Malaysia muncul johan keseluruhan serta menjadi penganjur terbaik temasya sukan itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Keputusan Perlawanan Liga Perdana Inggeris

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

default image

Mohd Jironi Juara Larian Serentak 1Malaysia

Artikel Lain