suria

Suzuki M-Seki Liberty Racing Belum Mahu Mengalah

(Dari kiri)Elly Idzliaikmal Ilias dan Sasitharen Sukumaran.
(Dari kiri)Elly Idzliaikmal Ilias dan Sasitharen Sukumaran.
(Dari kiri)Elly Idzliaikmal Ilias dan Sasitharen Sukumaran.

SEKALIPUN pelbagai cabaran diharungi pasukan Suzuki M-Seki Liberty Racing, Pengurus Pasukan, Chong Kok Ming dan pelumbanya, Sasitharen Sukumaran dan Elly Idzliaikmal Ilias, nekad meneruskan perjuangan mereka di dalam saingan Underbone 115cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) musim ini.

Kok Ming tetap optimis terhadap pasukan bimbingannya itu kerana pasukannya dapat menyesuaikan diri dengan cepat walaupun ini musim pertama mereka beraksi di dalam Kejuaraan PETRONAS ARRC.

Kini, pengurus pasukan itu berharap mereka akan terus memberikan persembahan terbaik pada Pusingan 5 yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuhai (ZIC) 29 hingga 31 Oktober ini. Dia meletakkan sasaran untuk Sasitharen dan Elly menamatkan perlumbaan di dalam kelompok lapan terbaik.

Ketika ini, Sasitharen berkedudukan tempat ke-17 kategori Underbone 115cc dengan 17 mata manakala rakan sepasukan Elly berada di tempat ke-22 dengan 11 mata.

“Kami menyertai saingan musim ini tanpa sebarang sasaran memandangkan ia musim pertama kami. Memang tidak dapat dinafikan kami berdepan dengan banyak cabaran dan masih banyak perkara yang perlu kami pelajari. Begitupun, segala rintangan itu tidak melemahkan semangat dan perjuangan pasukan ini.

“Kami telah mengenal pasti beberapa kelemahan sejak musim ini bermula dan kedua pelumba Sasi dan Elly kini berusaha keras meningkat kecergasan mereka. Jika segalanya berjalan lancar, saya harap mereka akan mencuba untuk menamatkan saingan dikalangan lapan pelumba terbaik di Zhuhai hujung minggu ini,” ujar Kok Ming.

Ketika ditanya apakah halangan yang dihadapi pasukannya ketika ini, secara jujur pengurus pasukan itu menjelaskan tiga perkara utama.

“Pertama ialah litar, kedua adalah enjin dan terakhir ialah pelumba itu sendiri. Ini merupakan penampilan sulung kami dalam siri kejuaraan ini dan kebanyakan litar yang kami hadapi merupakan sesuatu yang baru buat kami. Oleh itu, anda tidak boleh membandingkan kami dengan pelumba lain yang telah berlumba di dalam Kejuaraan ini untuk beberapa tahun.

“Kami juga adalah pasukan tunggal menggunakan jentera Suzuki dalam saingan kategori Underbone 115cc selepas Mohd Affendi Rosli (Harian Metro SCK Honda Racing) yang muncul juara musim lalu dengan jentera Suzuki. Sudah tentu tekanan untuk kami mengekalkan prestasi cemerlang itu tinggi.

"Selain itu, aspek pelumba serta keupayaan mereka turut memainkan peranan penting di dalam pasukan. Ini semua merupakan kelemahan kami pada waktu ini dan kami perlu memperbaikinya jikalau mahu lebih maju pada musim yang akan datang. Walau apapun, pujian turut diberikan kepada setiap ahli pasukan yang berkerja keras sekali pun berdepan dengan tekanan, mereka masih memberikan yang terbaik pada setiap perlumbaan," katanya.

Jika dilihat pada aspek yang positif, Kok Ming berpendapat pengalaman yang diperolehi Sasitharen dan Elly berlumba di dalam Kejuaraan PETRONAS ARRC mampu membantu mereka menjadi lebih kompetitif pada saingan nasional, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

Walaupun, keputusan di tahap Asia kurang memberangsangkan tetapi mereka boleh menggunakan pengalaman yang ditimba itu di tahap nasional.

Sementara itu, pelumba Indonesia Denny Triyugo dari Yamaha TOP 1 FDR Racing mendahului pelumba lain dalam kelas Underbone 115cc dengan 94 mata diikuti dua rakan senegara, Hadi Wijaya (Kawasaki NHK Rextor MTR Manual Tech) dengan 89 mata dan Fitriansyah Kete (Bikers BRT Indonesia Racing Team) 65 mata.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.arrc.com.my atau hubungi Two Wheels Motor Racing di 03-87338787

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Alonso Juara GP Korea

Artikel Lain