suria

Khidmat 'Awang Import' Hanya Dibenarkan Pada Musim 2012

SHAH ALAM: Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPT), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengsyorkan supaya pemain import, yang dilarang beraksi dalam Liga Malaysia sejak tahun lepas, dibenarkan bermain di liga bola sepak tempatan mulai musim 2012.

Ini sehubungan dengan cadangan jawatankuasa itu kepada Lembaga Eksekutif FAM agar larangan tersebut dikekalkan hanya hingga di Liga Malaysia musim 2011.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata keputusan ini dibuat walapun anggota gabungan FAM sebulat suara bersetuju bahawa pemain import dapat membantu memeriahkan lagi saingan Liga Malaysia musim depan.

"Namun di atas kewajaran tertentu setelah mengambil kira faktor kemampuan kewangan pasukan yang bertanding, JPT memutuskan agar kemasukan pemain import hanya dibenarkan pada 2012," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas JPT di sini, Khamis.

Hamidin berkata JPT juga memutuskan untuk meletakkan syarat hanya pasukan yang sudah menyelesaikan masalah kewangan mereka termasuk bayaran tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tunggakan gaji pemain dan lain-lain masalah kewangan saja yang dibenarkan mengambil pemain import pada musim 2012.

"Kita membuat keputusaan hanya membenarkan pemain import kembali masuk beraksi pada 2012 kerana memberi ruang masa kepada pasukan untuk menjelaskan hutang serta menyusun kembali kewangan mereka," katanya.

Pemain import dibenarkan beraksi sejak Liga Semi Pro diperkenalkan di Malaysia pada 1989, namun pada Ogos 2008 badan induk bola sepak negara itu mengambil tindakan drastik untuk tidak membenarkan mereka beraksi pada musim 2009.

Hamidin berkata mesyuarat JPT hari ini turut memutuskan hanya tiga orang pemain import boleh diambil oleh setiap pasukan. "Pasukan hanya dibenarkan mengambil pemain dari negara yang mempunyai kedudukan ranking pemain yang lebih tinggi daripada pemain negara," katanya.

Hamidin berkata kelayakan pemain import dinilai berdasarkan kedudukan mereka pada 11 Ogos 2011.

Beliau bagaimanapun berkata keputusaan muktamad mengenai perkara itu akan ditentukan pada mesyuarat bersama lembaga eksekutif FAM Isnin depan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wigan Benam Wolves 2-0

Artikel Berikut

Artikel Lain