suria

Bagi Masa Chong Wei Berehat: Dr Ramlan

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan meneruskan latihan selepas cedera semasa Kejohanan Badminton Dunia di Perancis baru-baru ini pulih sepenuhnya.

Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz sehubungan itu meminta peminat-peminat pemain berkenaan supaya bersabar dan memberi ruang kepadanya untuk berehat.

“Dalam perlawanan seperti ini, kecederaan tidak dapat diduga dan inilah yang berlaku kepadanya walaupun sebelum itu dia berada dalam keadaan baik.

“Kita harus memberi peluang kepadanya agar berehat dan melakukan pemulihan dan pihak kami akan memantaunya dalam masa tiga minggu pertama ini. Selepas itu kita akan dapatkan yang berlaku dan apa yang patut dilakukan.

“Biarlah kita melakukan rawatan itu dan selepas itu kita akan jelaskan apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Chong Wei kalah pada saingan suku akhir kejohanan berkenaan minggu lalu setelah mengalami sakit belakang walaupun menang pada pusingan pertama dan kedua.

Sementara itu, Ramlan turut bersetuju langkah jurulatih Datuk Misbun Sidek yang mengambil keputusan untuk tidak membenarkan Chong Wei beraksi pada mana-mana kejohanan sehingga Sukan Komanwel, Oktober ini.

“Keputusan jurulatihnya itu adalah sesuatu yang betul. Sekurang-kurang dalam masa itu, Chong Wei boleh kembali cergas sekali gus mampu menumpukan perhatian kepada Sukan Komanwel,” katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain