suria

Kejohanan Menembak Kebangsaan Persiapan Terakhir Sebelum Ke India, China

LANGKAWI: Skuad menembak kebangsaan akan menjadikan Kejohanan Menembak Kebangsaan di Subang hujung bulan ini sebagai persiapan terakhir menguji kemampuan penembak menjelang Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Jurulatih kebangsaan Mohd Hashim Md Desa berkata kejohanan bermula 23 hingga 26 September itu adalah kejohanan terakhir menjelang Sukan Komanwel di New Delhi pada 3 hingga 14 Oktober dan Sukan Asia 2010 di China pada November nanti.

Katanya latihan skuad kebangsaan diadakan seperti biasa walaupun pada bulan Ramadan.

Seramai 19 penembak kebangsaan acara pistol dan raifal menyambung latihan pusat di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi di sini sehingga 4 September ini untuk memantapkan persediaan penembak bagi menghadapi temasya sukan berprestij itu, katanya kepada Bernama di sini.

Antara penembak harapan yang menjalani latihan itu ialah Nur Suryani Mohd Taibi, Bibiana Ng Pei Chin, Hasli Izwan Amir Hasan, Hafiz Adzhar dan Khalil Abdullah. Mohd Hashim berkata skuad menembak turut menyertai kejohanan luar negara termasuk Kejohanan Menembak Dunia di Munich, Jerman yang berakhir 12 Ogos lepas, dan sebelum itu kejohanan di Sydney, Australia, Beijing, China dan Kuwait.

Beliau berkata pada keseluruhannya pencapaian penembak negara ketika ini memuaskan tetapi memerlukan peningkatan bagi menghadapi dua temasya itu.

Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia akan menghantar skuad terbesar dalam sejarah terdiri daripada 23 penembak, bagi menggalas cabaran negara pada Sukan Komanwel.

Ketika Malaysia menjadi tuan rumah temasya Sukan Komanwel 1998, skuad menembak hanya terdiri daripada 11 atlet dan pada edisi 2002 di Manchester, United Kingdom, Malaysia menghantar 12 penembak.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain