suria

Sukan Skuasy Antara Sandaran Utama Di Sukan Komanwel, Asia

KUALA LUMPUR: Acara skuasy menjadi antara sandaran utama negara bagi menyumbang pingat di Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong.

Katanya, acara itu menawarkan dua pingat emas pada Sukan Komanwel, manakala pada Sukan Asia pula buat pertama kalinya menawarkan empat pingat emas iaitu individu dan berpasukan untuk kedua-dua lelaki dan wanita.

"Ini memberi peluang yang besar kepada pemain kita mendominasi acara ini di temasya Sukan Asia," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan pemain negara di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil di sini, Jumaat.

Zolkples, yang juga ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Guangzhou, China, pada November ini, berkata MSN turut mensasarkan kejayaan yang lebih besar pada penyertaan di kedua-dua temasya sukan berkenaan.

Katanya, MSN meletakkan sasaran keseluruhan 11 pingat emas di Sukan Komanwel New Delhi pada Oktober ini dan 10 pingat emas di temasya Sukan Asia.

Selaku ketua kontinjen Sukan Asia, Zolkples berharap pemain skuasy mampu mengulangi kejayaan yang sama di Sukan Asia Doha pada 2006.

Selain pemain wanita nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David, Mohd Azlan Iskandar dan Ong Beng Hee, prestasi pemain lain seperti Mohd Nafiizwan Adnan semakin meningkat, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain