suria

Ambrose Terpantas Antara Pelajar ASEAN

KUALA LUMPUR: Peserta Malaysia Ambrose Jilom muncul sebagai atlet terpantas pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) di hari pembukaan acara trek dan padang di Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini pada Khamis.

Meskipun pertama beraksi dalam kejohanan antarabangsa, Ambrose melakukan permulaan yang baik dalam acara 100 meter dengan jauh meninggalkan pencabar terdekat, Pongsakorn Sopakorn dari Thailand.

Anak muda dari Sarawak itu merakamkan 10.77s, sekaligus mengatasi rekod kejohanan 10.78s yang dicipta oleh atlet Indonesia, Franklin Burumi, pada edisi tahun lepas.

Pongsakorn hanya mampu pingat perak dengan catatan masa 10.85s manakala rakan senegaranya Yuttana Rittiron merangkul pingat gangsa dengan catatan masa 10.94s.

"Saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Ini bagaikan kemunculan semula yang baik setelah tidak dapat beraksi pada Sukma (Sukan Malaysia) di Melaka," kata anak didik bekas jaguh pecut negara Watson Nyambek itu.

Ambrose, bagaimanapun, enggan mendedahkan sebab mengapa beliau tidak dapat beraksi di Sukma Melaka bulan lalu.

Terdahulu itu, Mohd Baihaqi Razlan menjadi penyumbang emas pertama negara dalam kejohanan ASG kali ini apabila memenangi acara 400m lari berpagar lelaki.

Baihaqi juga mencatat rekod kejohanan baru dengan kepantasan 52.95s.

"Saya tak jangka boleh menang emas. Rekod kali ini juga lebih baik daripada di Sukma.

"Ini buat saya rasa lebih yakin...lagilah untuk bertanding di peringkat antarabangsa," katanya yang hanya meraih perak dalam acara yang sama pada Sukma baru-baru ini.

Muhamad Firdaus Mazalan dari Malaysia meraih perak dan atlet Thailand Sittichai Srisa membawa pulang gangsa.

Selain itu, Malaysia turut memungut tiga pingat perak melalui acara lompat tinggi lelaki yang dimenangi Ambrose, lompat jauh wanita (M.Shandyiani) dan lontar peluru lelaki (Mohamad Alif Hanif Mohd Afandi).

Thailand dan Vietnam masing-masing membawa pulang tiga emas manakala Indonesia dua emas daripada acara olahraga hari ini.

Sembilan rekod kejohanan baru turut dicatatkan iaitu menerusi acara 3,000m wanita, lempar cakera wanita, lontar peluru lelaki, 400m lari berpagar lelaki dan wanita, 100m wanita dan lelaki, 800m lelaki dan 5,000m lelaki. - BERNAMA

Artikel Lain