suria

Kabinet Setuju Tubuh Tabung Pembangunan Bola Sepak Negara

VIENTIANE: Kabinet secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menubuhkan satu Tabung Pembangunan Bola Sepak Negara bertujuan membiayai program pembangunan sukan itu di peringkat akar umbi, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, tabung yang akan dikendalikan oleh lembaga pemegang amanah dengan dana awal RM50 juta hingga RM60 juta itu dijangka mula beroperasi awal tahun depan.

"Tabung ini bertujuan untuk menyediakan dana khusus bagi pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

"Ini kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mempunyai dana untuk membangunkan sukan tersebut secara ekstensif di peringkat bawah.

"Bagaimanapun program elit uang melibatkan skuad kebangsaan masih berada di bawah FAM," tambahnya.

Ahmad Shabery berkata, cadangan KBS itu dibawa ke mesyuarat Kabinet pada hari Jumaat lepas dan tindakan susulan akan dilakukan apabila beliau pulang ke Kuala Lumpur selepas acara penutup Sukan SEA ke-25 Jumaat ini.

Beliau berkata, buat permulaan tabung itu akan memberi tumpuan kepada sukan bola sepak sebelum diperluaskan kepada sukan lain.

KBS katanya akan memastikan pemegang amanah tabung itu telus kerana dana tersebut adalah daripada duit rakyat, dan rakyat berhak mengetahui mengenai pengurusan tabung tersebut.

Mengenai pemilihan bola sepak sebagai penerima pertama dana daripada tabung berkenaan Ahmad Shabery berkata ia merupakan suntikan kepada sukan itu terutama dengan kejayaan Malaysia mara ke peringkat akhir acara bola sepak pada Sukan SEA ke-25 yang sedang berlangsung di sini sehingga Jumaat ini.

Selepas 20 tahun tanpa kilauan emas, Malaysia berpeluang menamatkan kemarau pingat itu apabila dijadualkan bertemu dengan Vietnam pada perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA Khamis ini.

Mengenai sasaran 30 hingga 35 emas dari kontinjen Malaysia pada temasya di sini, Ahmad Shabery optimis kontinjen negara mampu memenuhi sasaran minimum 30 emas.

"Jika dapat 35 emas, itu merupakan bonus," katanya.

Sehingga tengah hari ini, Malaysia berjaya mengutip 26 emas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain