suria

Acara Triathlon Antarabangsa di Port Dickson diteruskan

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan akan meneruskan penganjuran acara Triathlon Antarabangsa Port Dickson (PDIT) 2009 walaupun sedang berlaku wabak Influenza A (H1N1) atau selesema babi.

Acara ini dijadual berlangsung selama dua hari mulai 10 Julai ini di Admiral Marina & Leisure Club di sini.

Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan, Badrul Hisham Abd Rahman berkata keputusan itu diambil memandangkan banyak pihak yang mahukan acara ini diteruskan, tambahan pula ia tidak diadakan tahun lepas.

"Walaupun kita tahu penularan selesema babi tetapi kita akan mengambil langkah untuk menapis dan hanya membenarkan atlit (peserta) yang bebas daripada jangkitan selesema babi menyertai acara ini," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya untuk itu setiap atlit terutama atlit luar negara diwajibkan untuk mengisi borang pengistiharan bahawa mereka bebas daripada selesema babi.

Badrul Hisam berkata pihak penganjur akan menyediakan bilik khas yang dikendalikan oleh pegawai Jabatan Kesihatan untuk memeriksa para atlit yang disyaki dijangkiti selsema babi.

Pengerusi penganjur Mej (B) Md Harmain Abu Bakar berkata setakat ini seramai 829 atlit termasuk 482 atlit luar negara telah mengesahkan penyertaan mereka.

Katanya Singapura menghantar peserta terbanyak iaitu seramai 252 atlit, diikuti Hong Kong (82), United Kingdom (27), Australia (25), Macau (21), Jepun (13), Thailand (8), Netherlands (7) dan Kanada (6).

PDIT 2009 yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM35,000 merupakan edisi kelapan yang akan akan menguji ketahanan peserta dalam acara renang, berbasikal dan berlari. PDIT 2009 mempunyai tiga kategori iaitu Olympic Triathlon, Super Sprint dan Sprint Triathlon.

Bagi kategori Olympic Triathlon, setiap peserta dikehendaki berenang sejauh 1.5km, berbasikal sejauh 40km dan berlari sejauh 10km, manakala bagi dua lagi kategori itu peserta akan berenang sejauh 750 meter, berbasikal 20km dan berlari 5km. BERNAMA

Artikel Lain