suria

Bapa nafi Razik dijangkiti H1N1

SEREMBAN: Pemain beregu campuran negara, Mohd Razif Abdul Latif hanya mengalami demam biasa dan tidak pernah dimasukkan ke wad Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) kerana jangkitan selesema babi, kata bapanya Abdul Latif Saleh.

Beliau yang bertugas sebagai juruteknik Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan berkata, Mohd Razif kini cuma berehat di rumah setelah mengalami demam biasa.

"Dia balik dari menyertai Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Johor Baharu yang berakhir Ahad lepas dan mengalami demam panas Isnin lepas.

Setelah membuat pemeriksaan di Majlis Sukan Negara, dia kemudian dirujuk ke Hospital Serdang dan mendapat rawatan pesakit luar di hospital itu.

"Razif cuma mengalami demam biasa dan dia balik ke rumah saya di sini untuk berehat, dan keadaannya sekarang ok...tiada apaapa masalah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Abdul Latif berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar yang mendakwa Mohd Razif semalam dimasukkan ke wad HTJS kerana disyaki mengalami jangkitan Influenza A (H1N1) atau selesema babi.

Razif yang berpasangan dengan Tan Wee Khiong dalam acara beregu campuran, menyertai Terbuka Singapura dan Indonesia sebelum mengambil bahagian pada Terbuka Malaysia di Johor Baharu yang berakhir Ahad lepas.

Pasangan beregu campuran itu sedang membuat persediaan untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Hyderabad, India dari 10 hingga 16 Ogos ini.

Abdul Latiff berkata, anaknya itu dijangka kembali ke pusat latihan badminton di Stadium Juara, Bukit Kiara esok untuk berlatih semula bersama-sama pemain badminton negara yang lain. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain