suria

Basikal : Timorleste menjadi hos perlumbaan Mountain Bike Antarabangsa

PETALING JAYA: Dalam usaha menyokong inisiatif "Dili, Bandaraya Damai", kerajaan TimorLeste akan menjadi hos bagi perlumbaan terbaru adventure berbasikal, Tour de Timor pada 24 hingga 28 Ogos depan.

Presiden Jose Ramos Horta dalam perutusan rakaman video pada persidangan akhbar di sini, melahirkan harapan agar perlumbaan itu mempertingkatkan lagi hubungan bilateral di kalangan negara-negara Asean, malah luar dari itu.

Perlumbaan sulung lima peringkat itu meliputi jarak sejauh 405km merentasi 13 daerah di TimorLeste.

Turut hadir di persidangan itu ialah Duta Besar TimorLeste ke Malaysia Juvencio de Jesus Martins, naib presiden Persekutuan Lumba Basikal Kebangsaan Malaysia (MNCF) Datuk Naim Mohamad dan Pengurus Perhubungan Awam Perlumbaan Sean Borell.

Peringkat pertama meliputi jarak 130km dari Istana Presiden, Dili, ke Old Baucau; peringkat kedua dari Old Baucau ke Loihuno, Viqueque (50km); peringkat ketiga dari Loihuno, Viqueque ke Betano, ManuFahi (90km); peringkat keempat dari Betano, ManuFahi ke Maubisse (70km) dan peringkat kelima dari Maubisse ke Istana Presiden, Dili (65km).

"Selain melalui jalan pantai yang indah, perlumbaan itu akan menjejaki kemuncak 2,000m dari paras laut, menjadikan peringkat laluan bukit begitu mencabar," kata Borell.

Perlumbaan itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah USD75,000 dan pemenang keseluruhan akan membawa pulang USD15,000. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain