suria

Pemegang rekod dunia Paralimpik sertai Marathon KL 2009

KUALA LUMPUR: Pemegang rekod acara 5,000 meter dan 10,000 meter pada Sukan Paralimpik Sydney 2000 dan Athens 2004, Henry Wanyoike adalah antara 12,500 pelari yang akan mengambil bahagian pada Marathon KL 2009 Ahad ini.

Pelari dari Kenya berusia 33 tahun itu akan hanya mengambil bahagian dalam separa marathon, iaitu sejauh 21km, bersamasama rakannya sejak kecil, Joseph Kibunja.

Wanyoike, yang lahir normal, hilang penglihatan selepas bangun dari tidur pada April 1995 tanpa diketahui punca sebenar.

"Saya hilang penglihatan tetapi tidak visi saya," katanya pada sesi motivasi kepada pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Cacat Penglihatan di Setapak semalam.

Beliau berkata keberanian dan kesungguhan boleh membantu seseorang itu mengatasi kekurangannya untuk mencapai kejayaan serta menjadikan impian mereka satu kenyataan.

"Bagaimanapun, untuk menjadi juara, kita perlu bekerja keras, berusaha dan sentiasa berfikiran positif," katanya.

Sebanyak 33 pelajar dari sekolah berkenaan akan mengambil bahagian pada Marathon KL itu, termasuk lima pelari cacat penglihatan dari Hong Kong. Kesemua mereka akan diiringi seorang penunjuk arah yang akan berlari di samping mereka. BERNAMA

Artikel Lain