suria

Atlet Paralimpik berkelayakan masih berpeluang ke London

KUALA LUMPUR: Atlet paralimpik yang mengumpul mata kelayakan dalam acara sukan masingmasing selain dari acara olahraga, renang dan angkat berat, masih berpeluang menyertai Sukan Paralimpik London 2012.

Bagaimanapun peluang itu tertakluk kepada kedudukan kewangan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan jenis sukan yang diiktiraf oleh Jawatankuasa Paralimpik Anatarabangsa, kata Pengurus Perhubungan Antarabangsa MPM, Malini Rajasegaran.

"Kalau kedudukan kewangan kita stabil, kita akan cuba hantar seberapa ramai atlet yang layak tapi dalam acara sukan yang diiktiraf IPC," katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Malaysia sebelum ini bercadang menghantar hanya atlet paralimpik dalam acara olahraga, renang dan angkat berat ke London.

Malini berkata atlet paralimpik perlu menyertai seberapa banyak kejohanan dalam tempoh tiga tahun ini bagi mengumpulkan mata kelayakan untuk dipertimbangkan menyertai temasya sukan utama itu.

"Atlet Malaysia perlu bertanding di tempat sendiri juga ditempat lain bagi mengumpul seberapa banyak mata bagi melayakkan mereka berada di ranking terbaik dunia sekaligus dapat beraksi di London," katanya.

Malini berkata atlet dalam acara olahraga, renang dan angkat berat juga perlu merebut peluang untuk memperbaiki ranking dunia masingmasing semasa kejohanan Sukan Para Asean ke5 yang berlangsung di sini dan Sukan Para Asean ke-6 yang akan diadakan di Jakarta pada 2011.

Selain itu, katanya, atlet Malaysia juga perlu memberi tumpuan kepada Sukan Para Asia yang akan berlangsung di Guangzhou, China tahun depan. BERNAMA

Artikel Lain