suria

Kejohanan bola jaring Asia ke-7 tarik 4 negara lagi

PUTRAJAYA: Kejohanan Bola Jaring Asia Ke7 di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, dari 19 hingga 28 Jun ini yang pada mulanya cuma menampilkan lima negara kini menarik minat empat lagi negara di Asia.

Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Suraya Yaacob berkata negara yang baru mengesahkan penyertaan ialah Thailand, Sri Lanka, Maldives dan India.

"Lima pasukan yang mendaftar awal ialah Singapura, Taiwan, Pakistan, Hong Kong dan Malaysia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata penyertaan sembilan pasukan pada edisi tahun ini merupakan jumlah penyertaan tertinggi sejak 2001.

Skuad negara, katanya telah menjalani siri latihan intensif sejak beberapa bulan lepas termasuk menyertai beberapa siri perlawanan persahabatan menentang lima kelab Australia di Perth bulan lepas.

"Skuad 18 pemain negara telah menentang lima kelab dan menewaskan tiga daripadanya iaitu Darling Range College (4521), Perth College (9321) dan Pasukan Divisyen 2 Australia (7051)," katanya.

Skuad negara bagaimanapun tewas pada perlawanan menentang Kelab Institut Sukan Australia Barat (WAIs)(2126) dan Wembley Netball Association (3050), katanya.

Suraya berkata Malaysia yang membariskan gandingan pemain junior dan senior perlu menghadapi juara dua kali, Sri Lanka yang diundi bersama Hong Kong, India dan Pakistan dalam Kumpulan B.

Kumpulan A pula terdiri Singapura, juara Piala Nation 2007 yang mendapat laluan mudah untuk melepasi saingan apabila diletakkan bersama Thailand, Maldives dan Chinese Taipei.

Perlawanan peringkat kumpulan dijadualkan bermula 19 hingga 24 Jun manakala separuh akhir pada 26 Jun dan perlawanan akhir pada 28 Jun. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain