suria

Malaysia tewaskan England pada perlawanan pembukaan

JOHOR BAHARU: Malaysia yang memulakan kempen kejohanan Piala Hoki Dunia Remaja dengan bergaya apabila berjaya menewaskan England 10 dalam perlawanan di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, semalam.

Selepas berhempas pulas mencari jaringan, skuad negara akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi penyerang, Faizal Shaari yang mendapatkan gol tunggal negara pada minit ke-31 menerusi pukulan sudut penalti.

Gol Malaysia yang meletakkan bersama-sama England dalam saingan kumpulan C membuatkan kira-kira 3,500 penyokong yang memenuhi stadium bersorak gembira untuk tidak berputih mata pulang dengan hampa.

Turut hadir menyaksikan perlawanan Sultan Perak Sultan Azlan Shah, Presiden Persekutuan Hoki Malaysia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, dan Raja Muda Johor Tunku Ismail Ibrahim.

Skuad bimbingan K.Rajan terus menggandakan asakan sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, namun peluang yang ada masih tidak mampu menjelmakan gol tambahan sedang pasukan lawan turut bertungkus lumus untuk mencari gol penyamaan.

Rajan yang ditemui pemberita selepas perlawanan berkata kemenangan tersebut menjadi penyuntik kepada anak didiknya untuk bertemu Korea Selatan dalam saingan kumpulan yang sama hari ini.

"Permainan hari ini (semalam) sesuatu yang mencabar dan kemenangan diharap menambahkan keyakinan anak didik saya untuk beraksi esok (hari ini)," katanya.

Kapten, Khairul Anuar Md Isa turut mengharapkan kejayaan menentang England semalam menjadi pemangkin kejayaan hari ini.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan kumpulan C, Korea mula menunjukkan belang selaku pencabar utama dalam kejohanan itu apabila membelasah Amerika Syarikat 70.

Terdahulu, dalam saingan Kumpulan A, Pakistan menunjukkan kekuatan apabila berjaya menewaskan Rusia 72 manakala Belgium pula menang 51 menewaskan Mesir. BERNAMA

Artikel Lain