suria

Malaysia hantar 12 perenang remaja ke Sukan Belia Asia

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menghantar perenang-perenang remaja untuk mewakili negara pada temasya sulung Sukan Belia Asia di Singapura dari 29 Jun hingga 7 Julai ini.

"Setakat ini kami telah memilih 12 perenang, enam lelaki dan enam perempuan ke temasya Sukan Belia Asia itu nanti.

"Pemilihan mereka adalah berdasarkan kepada pencapaian pada Kejohanan Renang Kumpulan Umur Kebangsaan. Keupayaan mereka pada Kejohanan Renang Kumpulan Umur Asia Tenggara barubaru ini juga amat memberangsangkan," kata Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Edwin Chong kepada Bernama hari ini.

Enam perenang remaja lelaki yang terpilih ialah Adam Lim, James Chen, Eric Chang, Ian James Barr, Lau Zheng Fong dan Kevin Lim manakala remaja perempuan yang disenaraikan ialah Heidi Loo, Christina Loh, Lai Wei Li, Hii Siew Siew, Erika Kong dan Cheng Karmen.

Edwin berkata, pemilihan mereka adalah berdasarkan pencapaian melepasi had kelayakan Kumpulan A yang telah ditetapkan pihak penganjur.

Pada Kejohanan Renang Kumpulan Umur Asia Tenggara yang berakhir Sabtu lepas, perenang remaja negara berjaya meraih 21 pingat emas dan mencipta tujuh rekod baru kejohanan.

Sementara itu, Pandelela Rinong, yang mewakili negara pada Sukan Olimpik Beijing tahun lepas, akan bersama-sama Wendy Ng dan Ooi Tzer Liang untuk mewakili negara dalam acara terjun.

Temasya Sukan Belia Asia turut melibatkan acara sukan lain seperti olahraga, bola keranjang 3lawan3, bola tampar pantai, boling, bola sepak, pelayaran, menembak dan pingpong. BERNAMA

Artikel Lain