suria

Sukan Olimpik: Hanya atlet terbaik layak sertai mini Olimpik 2009 - MSN

KUALA LUMPUR: Bagi menjaga mutu penganjuran Sukan Mini Olimpik 2009, Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur sukan dwi tahunan itu akan hanya memilih atlet yang mempunyai ranking sukan untuk menyertai kejohanan yang julung kali diadakan dari 29 Julai hingga 9 Ogos depan.

Pemangku Ketua Pengarah MSN Ab Jalil Abdullah berkata atas sebab itu, MSN telah membuat tapisan nama atlet yang dihantar oleh persatuan sukan kebangsaan sebelum ini.

"Kita akan menghantar surat tawaran kepada atlet yang terpilih dalam masa terdekat bagi membolehkan mereka membuat persedian awal," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa Olimpik Mini hari ini.

Beliau berkata MSN berharap Sukan Mini Olimpik mampu memberi kesedaran kepada atlet tentang betapa pentingnya mereka sentiasa mengekalkan kecergasan diri.

Ab Jalil berkata kejohanan tersebut diwajibkan kepada semua atlet termasuk atlet elit yang telah mencipta nama di peringkat antarabangsa.

"Walaupun telah mencipta nama di peringkat dunia, mereka perlu juga membuktikan kemampuan bersaing dengan atlet lain di peringkat tempatan," katanya.

Beliau berkata penganjuran sukan ini bukan hanya untuk mendidik atlet tetapi juga untuk membina kesedaran persatuan sukan kebangsaan agar mereka sentiasa peka kepada kedudukan atlet mereka di peringkat tempatan.

"Diharap selepas ini mereka (persatuan sukan) akan lebih mengambil berat tentang perkara ini agar semua atlet mendapat perhatian yang sewajarnya," katanya.

Ab Jalil berkata MSN telah memilih 1,450 orang terdiri daripada 490 pegawai dan 960 atlet untuk terlibat dalam kejohanan yang pertama kali diadakan ini.

"Sebagai permulaan MSN menetapkan sebanyak lapan acara sukan dipertandingkan pada Sukan Mini Olimpik edisi pertama ini iaitu badminton, berbasikal, memanah, menembak, olahraga, akuatik, angkat berat dan gimnastik," katanya.

Sebelum ini, isu tarikh Sukan Olimpik Mini timbul selepas tarikh asal kejohanan dari 19 hingga 27 Jun didapati bertindih dengan tarikh berlangsungnya Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Indonesia.

Pindaan tarikh terpaksa dibuat oleh MSN bagi membolehkan acara badminton dipertandingkan dalam Sukan Mini Olimpik.

JADUAL KEJOHANAN SUKAN MINI OLIMPIK 2009 Tarikh Sukan Venue

29 Julai 1 Ogos Gimnastik Artistik Gimnasium 3, MSN

29 Julai 1 Ogos Gimrama Gimnasium 1, MSN

29 Julai 1 Ogos Memanah Padang b, MSN

30 Julai 4 Ogos Menembak Lapang Sasar, Subang

29 Julai 6 Ogos Badminton Stadium Juara, Bukit Jalil

31 Julai 2 Ogos Olahraga Stadium Nasional, Bukit Jalil

16 Ogos Angkat Berat Gimnasium 2, MSN

15 Ogos Akuatik Pusat Akuatik, Bukit Jalil

18 Ogos Berbasikal Velodrome Cheras dan Putrajaya

BERNAMA

Artikel Lain