suria

Rizal, Chai Lin Olahragawan dan Olahragawati Selangor

SHAH ALAM: Pelumba berbasikal trek kebangsaan Mohd Rizal Tisin dan perenang kebangsaan Khoo Chai Lin dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Selangor dalam majlis penyampaian Anugerah Sukan Selangor 2008 di sini, malam semalam.

Kedua-dua atlet itu menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5,000, piala pusingan dan iringan berserta sijil, yang disampaikan oleh Tengku Puan Panglima Perlis Tengku Puteri Nor Zehan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj.

Baginda mewakili Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada majlis tersebut.

Majlis anjuran Majlis Sukan Negeri Selangor itu turut dihadiri Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Negeri Yaakob Safari.

Anugerah Olahragawan Harapan pula diberikan kepada Darren Subramaniam dari acara skuasy, manakala pelumba basikal Nurul Akhmar Badeuzzaman dipilih sebagai penerima anugerah Olahragawati Harapan.

Kedua-dua atlet itu menerima wang tunai RM3,000 sumbangan "Tabung Pelajaran Atlet Cemerlang Selangor" yang bertujuan memberi pembiayaan dalam bentuk dermasiswa kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod temasya Sukan Malaysia (Sukma) dan kebangsaan.

Pada temasya Sukma ke12 lepas, kontinjen Selangor menduduki tangga kedua di belakang Terengganu dengan mengumpul 54 pingat emas, 47 perak dan 52 gangsa.

Sementara itu, Anugerah Pasukan Terbaik diraih Pasukan Tenis Lelaki Sukma Selangor dari Persatuan Tenis Selangor.

Anugerah khas pula diberikan kepada Marina Chin, ratu lari berhalangan pada era 1980an, dan Anugerah Pegawai Berjasa kepada Amrun Misnoh dan Mohamed Zain Ibrahim, masingmasing setiausaha kehormat dari Persatuan Lumba Basikal Selangor serta Persatuan Sepak Takraw Selangor.

Nestle (Malaysia) Bhd pula menerima anugerah Penghargaan Khas kerana banyak memberikan sokongan serta sumbangan ke arah pembangunan sukan di Selangor. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain