suria

The Smurfs 2 Versi Bahasa Melayu Ada Aura Tersendiri

Filem : The Smurfs 2 (Versi Bahasa Malaysia)

Pelakon : Datuk Aznil Nawawi, Lisa Surihani, Zizan Razak, Elfira Loy, Ray, Hafidzuddin Fadzil dan Mubarak Majid

Durasi : 90 minit

Tarikh Tayangan : 8 Ogos 2013

PERKHABARAN tentang filem animasi The Smurfs 2 turut ditayangkan di pawagam dalam versi Bahasa Malaysia, penulis mengakui tidak dapat mengelak daripada menyimpan pandangan skeptikal terhadap penerimaan penonton filem tersebut.

Malah barisan selebriti yang terlibat bagi meminjam suara untuk filem berkenaan iaitu Datuk Aznil Nawawi sebagai Gargamel, Hafizuddin Fadzil (Papa Smurf), Lisa Surihani (Smurfette), Zizan Razak (Vanity), Elfira Loy (Vexy) dan Ray (Grouchy) juga tidak berjaya menyakinkan penulis bahawa mereka dapat menjadi tarikan untuk menarik penonton menonton filem berkenaan dalam Bahasa Malaysia.

Ini kerana taktik tersebut tidak akan berjaya kerana peminat siri kartun popular Amerika Syarikat itu lebih selesa menonton dengan versi asal filem tersebut untuk menghayati karya terkenal itu.

Bagaimanapun, pandangan penulis segera berubah apabila berpeluang menonton versi Bahasa Malaysia filem itu semasa tayangan perdana bersama media yang diadakan di Golden Screen Cinemas (GSC) di One Utama baru-baru ini.

Nyata kredibiliti barisan pelakon seperti Aznil, Hafidzuddin, Elfira dan Lisa memberi aura tersendiri kepada watak-watak yang telah diamanahkan kepada mereka.

Suntikan loghat Perak menerusi watak Vincent yang menggunakan suara pelakon terkenal 90-an iaitu Mubarak Majid cukup menghiburkan dan mengundang hilai tawa dalam panggung.

Malah suara watak-watak lain juga menjalankan tanggungjawab dengan baik terutama Hafidzuddin dan Aznil yang sering meminjamkan suara mereka untuk banyak filem animasi.

Menerusi versi bahasa Malaysia itu juga dapat memartabatkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan itu dikalangan masyarakat negara ini.

Sekuel kepada filem animasi aksi komedi itu kembali dengan aksi yang lebih mencuit hati. Tidak hanya memaparkan makhluk-makhluk comel, filem ini juga turut memaparkan jalan cerita yang menarik untuk ditonton.

Menyaksikan ahli sihir jahat, Gargamel yang telah mencipta beberapa makhluk nakal dan menyerupai Smurf yang diberi nama Naughties dengan harapan ia akan memberikannya kuasa ajaib.

Bagaimanapun, apabila dia menyedari hanya Smurf boleh memberikan apa yang diinginkannya itu dan Smurfette tahu sihir rahsia yang berupaya menukar Naughties kepada Smurf tulen, Gargamel bertindak menculik Smurfette dan membawanya ke Paris di mana dia telah disanjung tinggi sebagai ahli sihir terunggul dunia.

Papa, Clumsy, Grouchy dan Vanity bersama-sama rakan manusia, Patrick dan Grace Winslow mengharungi pelbagai pengalaman dan cabaran untuk menyelamatkan Smurfette.

Ia sesuai ditonton seisi keluarga pada musim perayaan ini.

Artikel Lain