suria

“Ini perintah Allah“ - Raja Azura nak 'selamatkan' bekas suami soal kewajipan nafkah, tak reda hak anak-anak diabaikan

Raja Azura berusaha menyelesaikan isu tuntutan nafkah terhadap bekas suami dengan harmoni tanpa sebarang pergaduhan.

TINDAKAN pelakon dan pengacara, Raja Azura memfailkan tuntutan nafkah untuk tiga anaknya daripada bekas suami, Adzmin Osman yang dianggarkan hampir RM1 juta bukan bertujuan mencetuskan konflik, sebaliknya bagi memastikan tanggungjawab seorang bapa dilaksanakan seperti dituntut dalam Islam.

Menurut Raja Azura, apa yang dilakukan itu juga bagi memudahkan urusan bekas suaminya itu di dunia ini. 

“Apa yang saya buat ini adalah perintah yang perlu dilaksanakan oleh seorang ayah.

“Jangan terlalu selesa sangat sebab dah lama tak tengok anak, apatah lagi wish hari jadi anak. Mereka pun tiada peluang nak sambut raya bersama ayahnya. 

"Selama ini kami semua tak kisah pun bila tiada semua itu. Cuma saya buat tuntutan ini bukan nak cari gaduh, tapi saya nak dia jalankan tanggungjawab sebagai umat Islam. 

"Dia pun tahu hukum nafkah ini adalah wajib. Ini bukan arahan mahkamah tapi perintah Allah. Jadi dia perlu laksanakan tanggungjawab dengan baik. 

"Apa yang saya buat ini juga bukan untuk saya, tapi untuk diri dia pada masa akan datang,"katanya kepada mStar. 

Raja Azura harap bekas suaminya dapat menjalankan tanggungjawab seperti yang diajar dalam Islam. 

Raja Azura turut menggesa bekas suaminya itu bersikap lebih terbuka mengenai kehidupan peribadi sekiranya sudah membina keluarga baharu.

“Saya juga harap kalau dia sudah ada anak, sila tunjukkan kepada kami semua sebab kami perlu tahu. Kalau ada isteri pun, tunjukkan.

“Apa yang terjadi antara kami sudah lama berlalu. Saya pun bukan nak ganyang isteri dia, zaman itu dah habis. Saya hanya nak move on dan menjalani kehidupan dengan tenang,"katanya. 

Tambah Raja Azura, sepanjang 15 tahun membesarkan anak-anak seorang diri, dia mengakui ikhlas memikul amanah tersebut, namun isu nafkah anak adalah perkara yang tidak mampu diredai.

“Alhamdulillah hakim menerima segala keterangan yang saya berikan semalam. Kalau ikutkan permohonan ini susah untuk diteruskan kerana sudah melebihi had, tapi selepas meneliti segala keterangan yang saya berikan,  hakim akhirnya meluluskan permohonan saya itu.

“Hampir 25 minit saya bercakap dengan hakim bagi menerangkan mengapa saya nak buat tuntutan kebenaran nafkah untuk anak-anak saya sekarang. Hakim juga ada tanya adakah selama ini saya reda dengan apa yang terjadi?

“Saya beritahu ada dua sebab saya mendiamkan diri selama ini. Pertama saya ikhlas jaga anak-anak dan menjalankan amanah Allah ini dengan baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Nafkah tertunggak hampir RM1 juta, mahkamah luluskan pelaksanaan tuntutan Raja Azura

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 15 tahun bercerai, Raja Azura tuntut nafkah anak… “Saya tak mahu bergaduh dengan bekas suami”

“Tapi untuk nafkah anak-anak yang sepatutnya dia bagi, itu saya tidak reda. Itu hak anak-anak saya. Apa yang saya perjuangkan ini pun bukan untuk diri saya tapi untuk mereka.

“Hakim ada bertanya lagi adakah saya rasa dia mampu dengan jumlah tuntutan hampir RM1 juta yang dibuat, tapi saya kata saya tolak tepi fasal jumlah itu kerana saya nak dia datang ke mahkamah dan beritahu berapa dia boleh bayar nafkah anak-anak saya," katanya. 

Dalam masa sama, Raja Azura berkata dia sudah berusaha sehabis baik dan bersikap berlembut sepanjang proses tersebut, namun kecewa dengan sikap bekas suaminya yang didakwa tidak memberikan kerjasama.

“Rasanya saya dah habis berlembut walaupun bekas suami tak beri kerjasama sepanjang proses ini.

“Dia perlu tahu yang setiap prosiding saya perlu keluarkan duit untuk bayar peguam. Bayaran yang dikenakan bukan sikit tapi dia seolah-olah tidak menghormati perintah mahkamah ini.

“Rasanya kalau orang lain yang hadap apa yang saya rasa sekarang pasti sudah mengamuk, tapi saya tidak buat begitu. Saya cuba cari jalan lain sehinggalah permohonan berjumpa hakim semalam. 

“Saya pun tiada niat nak aibkan sesiapa, tapi disebabkan dia berkahwin dengan selebriti jadi dia perlu tahu akibatnya apabila setiap perkara yang kita buat akan menjadi perhatian umum,"katanya. 

Raja Azura tidak berniat untuk mengaibkan mana-mana pihak.

Semalam Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam meluluskan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah yang difailkan Raja Azura terhadap Adzmin. 

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Tuan Salehan Yatim, selepas berpuas hati dengan penjelasan serta keterangan yang dikemukakan Raja Azura sepanjang prosiding berlangsung. 

Mohammad Amirul menjelaskan permohonan berkenaan membabitkan pelaksanaan perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 2010 berkaitan nafkah anak dan nafkah idah yang didakwa masih gagal dilaksanakan oleh Adzmin sehingga kini.

Difahamkan Raja Azura bakal menuntut nafkah bagi tiga anaknya yang dianggarkan hampir RM1 juta selepas bekas suaminya didakwa gagal menunaikan tanggungjawab itu sejak 15 tahun lalu.

Pada 10 September lalu, Raja Azura memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya terhadap Adzmin, yang didakwa culas melaksanakan tanggungjawab nafkah mengikut perintah mahkamah sejak perceraian mereka 15 tahun lalu.

Raja Azura dan Adzmin yang merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff itu mendirikan rumah tangga pada 2001 dan bercerai pada 28 September 2010. 

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 24; Megat Luqman Hakim Adzmin, 23; dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 21.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain