suria

Sharnaaz Ahmad setuju bayar nafkah anak RM1,200 sebulan

Sharnaaz dan Noor Nabila utamakan masa depan anak.

KEMELUT antara pelakon Sharnaaz Ahmad dan bekas isteri Noor Nabila Mohd Noor akhirnya berjaya dirungkaikan apabila kedua-dua mereka bersepakat mengenai tiga tuntutan yang dimeterai dalam satu perjanjian persetujuan di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur pada Khamis.

Persetujuan terhadap tuntutan yang dimeterai melalui surat ditandatangani kedua-dua belah pihak membabitkan nafkah edah, hadanah (hak penjagaan) dan nusyuz itu dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohamed Fauzi Mokhtar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Syukur proses ini berjalan ketika kami dalam hubungan yang baik” - Sharnaaz, Nabila bercerai secara hakam

Terdahulu ketika prosiding, peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Noor Nabila, 36, selaku plaintif menyatakan bahawa pihak defendan iaitu Sharnaaz bersetuju untuk memberi nafkah edah sebanyak RM500 selama tiga bulan.

"Selain itu pihak defendan juga bersetuju hak penjagaan anak diberikan kepada Noor Nabila termasuk memberi nafkah anak sebanyak RM1,200 sebulan.

Sharnaaz membatalkan permohonan nusyuz terhadap Nabila.

“Pada masa sama, defendan turut dibenarkan bertemu anak mereka dan permohonan nusyuz turut dibatalkan.

"Plaintif juga turut bersetuju mengenepikan tuntutan mutaah melainkan sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dipindah milik kepada plaintif," katanya.

Sementara itu, peguam Ummi Kartini Abd Latif yang mewakili Sharnaaz mengesahkan serta bersetuju dengan terma-terma dikemukakan.

Walaupun tidak boleh meneruskan hubungan sebagai suami isteri, tapi kami masih berkawan.

SHARNAAZ AHMAD

PELAKON

Selepas terma-terma itu dibacakan, Hakim Syarie Mohamed Fauzi bertanyakan kepada Sharnaaz dan Noor Nabila sama ada mereka bersetuju dengan perjanjian tersebut.

Kedua-dua mereka kemudiannya menyatakan bersetuju serta sukarela menerima tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Noor Nabila ketika ditemui selepas prosiding mengakui lega dengan keputusan yang dicapai.

“Alhamdulillah semuanya selesai.. segalanya dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Nabila ditemani peguamnya Datuk Zainul Rijal.

Sharnaaz, 35, pula bersyukur kerana kes berkenaan akhirnya selesai selepas kedua-dua peguam berbincang dan mencapai kata sepakat.

"Sekarang ini keutamaan kami adalah Jebat. Walaupun tidak boleh meneruskan hubungan sebagai suami isteri, tapi kami masih berkawan," ujar Sharnaaz.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dan bercerai pada 9 Julai lalu melalui hakam.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Jebat Jayden yang kini berusia dua tahun.

Sebelum ini kes penceraian rumah tangga mereka dilanda kontroversi apabila sering memuat naik kata-kata sedih dalam laman sosial Instagram masing-masing.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain