Rumah tangga 17 tahun Opie Zami musnah - “Dia tak salah... saya yang gagal bentuk jadi isteri mithali”

Pasangan Opie Zami dan Zamzarina bercerai selepas masalah rumah tangga yang berlaluran sejak 10 tahun gagal diselesaikan.

IKATAN perkahwinan selama 17 tahun pelakon dan pengarah Opie Zami dan isterinya Zamzarina Mohammed terlerai selepas pasangan itu bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Isnin.

Opie atau nama sebenarnya Mohd Saufi Zami, 46, melafazkan talak di hadapan Hakim Ahmad Mahir Zanial kira-kira pukul 10.47 pagi dan Zamzarina diperintahkan menjalani tempoh edah selama tiga bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Opie Zami Berbalah Dengan Penulis Skrip 'Kecoh! Hantu Raya Tok Chai'

Suasana menjadi pilu menyelubungi ruang mahkamah apabila Ahmad Mahir memerintahkan pasangan itu bermaafan-maafan dan bersalaman buat kali terakhir sebagai suami isteri sebelum Opie melafazkan cerai.

Pada 16 Mac lalu, Zamzarina selaku plaintif memfailkan permohonan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Opie tidak dapat berkongsi punca sebenar dia dan isterinya bercerai kerana terlalu peribadi.

Sementara itu Opie yang juga anak kepada pelakon Allahyarham Zami Ismail ketika ditemui di luar mahkamah enggan mendedahkan secara terperinci punca perceraiannya kerana ia terlalu peribadi untuk dikongsikan.

"Isteri saya tak salah. Saya yang gagal bentuk dia menjadi seorang isteri yang mithali... saya menghormati kehendak dia.

"Dia isteri saya bagus... seorang ibu yang baik. Ketua keluarga saya, jadi saya yang gagal.

"Benda (punca) tu terlalu peribadi untuk saya kongsikan kerana ia terlalu peribadi.," kata Opie.

Zamzarina ketika ditemui di luar mahkamah mengakui kemelut rumah tangga mereka sudah berlarutan sejak 2010.

"Ini bukan pertama kali saya pergi ke mahkamah. Sebelum ini sudah tiga kali saya turun naik mahkamah.

"Selepas ini saya akan uruskan hak penjagaan anak dan tuntutan nafkah," ujar Zamzarina.

Zamzarina diwakili peguam Syarie Azmanira Ismail @ Zanudin manakala Opie tidak diwakili peguam.

Opie mendirikan rumah tangga dengan Zamzarina pada 5 Disember 2003.

Pasangan itu dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Ammar Shah Saidi, 15; Aliff Shah Syedi, 13; dan Arrif Shah Saidi, 8.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain