Tiada ruang berdamai, Sharnaaz dan Noor Nabila diperintah jalani proses timbang tara

MAHKAMAH Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur menetapkan 4 Disember ini untuk melantik wakil dalam proses timbang tara (hakam) berhubung kes perceraian pelakon Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila Mohd Noor.

Hakim Syarie Ahmad Muttaqi Ismail menetapkan tarikh itu selepas kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian dalam Jawatankuasa Pendamaian (JKP) yang dilantik sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Adakah Noor Nabila derhaka terhadap suami? Sharnaaz failkan pula permohonan nusyuz

ARTIKEL BERKAITAN: Sharnaaz Ahmad masih sayang, tukar fikiran enggan cerai Nabila

Hakam adalah proses diperuntukkan mengikut Seksyen 47(14) dan Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

Menerusi proses itu, mahkamah mempunyai kuasa melantik dari kalangan saudara-mara terdekat kedua-dua pihak, iaitu dua penimbang tara yang mempunyai makluman berkaitan isu rumah tangga pemohon dan defendan.

Sementara itu, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Sharnaaz memberitahu pelantikan hakam itu perlu untuk mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut yang melanda pasangan ini.

"Keputusan hari ini mahkamah menetapkan pelantikan hakam bagi menyelesaikan semua isu dan mencari jalan terbaik. Kita ada peruntukan undang-undang untuk merujuk kes ini ke hakam pula.

Peguam syarie yang dilantik Sharnaaz iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader.

"Dua-dua pihak ada alasan masing-masing dan kalau tiada penyelesaian mereka ada hak untuk bawa ke peringkat seterusnya iaitu hakam.

"Kita sekarang ini dalam usaha nak selesaikan semuanya secara terbaik supaya masing-masing hidup aman dan damai," katanya kepada mStar.

Dalam prosiding itu peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Sharnaaz manakala peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili Noor Nabila.

Pada 11 September lalu, mahkamah memerintahkan satu jawatankuasa pendamai (JKP) dibentuk bagi mencari penyelesaian dalam kes tuntutan cerai pasangan ini.

Bagaimanapun, Sharnaaz, 34, atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad pula memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya itu pada 30 September lalu.

Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata diberi nama Jebat Jayden yang kini berusia setahun.

Bagi prosiding JKP, Sharnaaz telah melantik kakaknya iaitu Dr. Sherrini Ahmad Basir Ahmad sebagai wakil manakala Noor Nabila melantik bapa tirinya Abdul Halim Khan.

Dalam pada itu, bagi permohonan nusyuz yang difailkan Sharnaaz terhadap Noor Nabila, mahkamah turut menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes.

Spekulasi rumah tangga pelakon filem Juvana itu kembali hangat diperkatakan ramai selepas Nabila memuat naik gambar hadapan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menerusi Instastory pada Februari lalu.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Jebat Jayden yang kini berusia setahun.

Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Sah! GRS menang majoriti mudah PRN Sabah