suria

Rap leleh jadi taruhan... Siti Nordiana, Apit Tearra tampil dengan Merayu Angan

Siti Nordiana tampil berkolaborasi dengan Apit Tearra menerusi lagu Merayu Angan.

SELEBRITI terkenal, Siti Nordiana tampil membawa kelainan apabila bergabung dengan penyanyi rap muda, Apit Tearra menerusi single terbaharu berjudul Merayu Angan.

Kerjasama itu turut mencatat sejarah peribadi buat Siti Nordiana atau mesra disapa Nana apabila buat kali pertama mencuba elemen rap dalam sesebuah karya. 

Percubaan itu memperlihatkan sisi baharunya yang lebih segar dan kontemporari, namun masih mengekalkan kekuatan vokal dalam lagu jiwang yang menjadi identitinya. 

Kolaborasi Siti Nordiana dan Apit Tearra dalam Merayu Angan membuktikan rap dan jiwang mampu bergerak seiring.

“Merayu Angan merupakan satu pengalaman yang sangat berbeza buat saya. Ini kali pertama saya mencuba elemen rap dalam sebuah lagu.

"Pada mulanya memang ada rasa gementar, namun apabila mendengar keseluruhan konsep lagu ini saya rasa ia sesuatu yang segar dan jujur.

"Gabungan rap dan jiwang ini membuatkan saya lebih bebas mengekspresikan emosi dengan cara yang baharu.”

ARTIKEL BERKAITAN: Irama tradisional masih relevan, Siti Nordiana tumpang ‘vibes’ Biduanita Negara

ARTIKEL BERKAITAN: Betul-betul mencabar vokal, Siti Nordiana bayangkan kisah hubungan toksik dalam ‘Arah Cinta’

Bagi Apit Tearra pula lagu itumenjadi platform untuk menampilkan rap yang lebih dekat dengan perasaan dan realiti pendengar tempatan. 

"Saya mahu Merayu Angan menjadi lagu rap yang dekat dengan perasaan orang kita. Ia bukan tentang rap yang keras, tetapi rap yang jujur dan leleh. 

"Bekerja dengan Siti Nordiana adalah satu penghormatan besar kerana beliau membawa emosi dan kekuatan vokal yang sangat mendalam, sekali gus menghidupkan lagu ini dengan cara yang saya sendiri tak pernah bayangkan sebelum ini,"katanya. 

Gabungan vokal jiwang Siti Nordiana dan rap beremosi Apit Tearra mewarnai single terbaharu berjudul Merayu Angan.

Kolaborasi ini membuktikan rap dan jiwang boleh bergerak seiring, sekali gus membuka ruang baharu dalam penerokaan muzik tempatan.

Single Merayu Angan kini boleh distrim di semua platform digital utama.

Artikel Lain