PENYANYI Indonesia, Farel Prayoga tidak menafikan kemelut keluarga yang dihadapinya memberi kesan kepada fokus dalam kerjaya seni.
Menurut Farel, 15, situasi tersebut menyebabkan dirinya mengalami trauma dan masalah kepercayaan terhadap orang sekeliling.
“Saya anggap semuanya sudah selesai. Buat masa ini, saya hanya berhubung dengan ayah dan adik sahaja. Lagipun, saya kini sudah bersekolah di Jakarta.
“Tidak dinafikan, apa yang berlaku sebelum ini membuatkan saya memiliki ‘trust issue’, sekali gus memberi kesan terhadap mental, apatah lagi dengan kedudukan saya yang perlu terus bekerja dan membuat persembahan,” katanya kepada mStar.

Farel bekerja sejak kecil bagi membantu keluarga.
Farel berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran single terbaharunya, Lemak Manis, yang diadakan di Hotel St. Giles Boulevard, Kuala Lumpur pada petang Khamis.
Mengenang semula awal penglibatannya dalam bidang seni, Farel berkata kesempitan hidup keluarga mendorongnya untuk menjadi penyanyi jalanan ketika usia lapan tahun.
“Dulu hidup kami susah kerana masalah ekonomi. Saya mula busking pada usia lapan tahun sebab tidak mahu menyusahkan ibu bapa untuk membeli makanan atau mainan.
ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi remaja didera ibu tiri, kena paksa kerja sara keluarga
ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi wanita dah kahwin Ogos lalu, berdepan hukuman penjara kerana nikah tanpa izin isteri pertama
“Tapi saya perlu jelaskan, saya bukan dipaksa keluarga. Keadaan ketika itu yang memerlukan saya busking lebih lama. Jika saya tidak keluar menyanyi, keluarga saya tidak makan.
“Boleh dikatakan kebanyakan duit saya dihabiskan untuk keluarga kerana ketika itu saya tinggal bersama ibu bapa,” ujarnya.
Penyanyi ini juga mengakui perjalanan yang dilalui sebelum ini bukanlah mudah kerana ada ketika dia perlu bekerja lebih masa.
Dulu hidup kami susah kerana masalah ekonomi
FAREL PRAYOGA
PENYANYI
Bercakap lanjut, Farel juga memilih untuk tidak ambil peduli terhadap kata-kata sekeliling yang boleh menjatuhkan semangatnya.
“Saya pernah beritahu ibu dan ayah yang saya penat, tetapi sebagai orang tua, mereka mahu yang terbaik untuk saya.
“Pasti ada yang bercakap buruk. Netizen memang suka komen macam-macam. Saya sendiri tidak suka baca komen. Sekarang saya sudah terbiasa dan hanya jalani sahaja hidup ini,” luahnya.

Farel kini tidak mahu kecaman netizen terus ganggu fokus kerjaya seni.
Sebelum ini, Farel membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa pernah menjadi mangsa dera yang dilakukan ibu tirinya.
Menurut Farel, dia juga dipaksa oleh ahli keluarga lain untuk bekerja sebagai penyanyi jalanan bagi menampung kehidupan seharian.
Dalam perkembangan lain, Farel kini tampil menyanyikan semula lagu Lemak Manis nyanyian asal penyanyi Malaysia, Roslan Madun.
Rakaman semula lagu Lemak Manis versi Farel telah dirakamkan di Jakarta dengan iringan orkestra.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


