suria

MK K-Clique makin matang sejak jadi bapa… “Belum sedia kongsi wajah Aya Rayana di media sosial”

MK tak tunjuk wajah anak kerana risau penyakit ain.

PENYANYI rap MK K-Clique kini melalui fasa kehidupan yang lebih tenang dan matang, terutama selepas dikurniakan anak perempuan, Aya Rayana. 

MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, 29, berkata dia bersyukur dengan segala nikmat dan rezeki yang Tuhan berikan kepadanya. 

“Saya sangat gembira dengan fasa yang saya jalani sekarang. Tak sangka saya akan berada di tahap ini daripada segi kerjaya.

MK sedang jalani fasa kehidupan yang lebih tenang.

“Kita semua tahu siapa saya dahulu, jadi Alhamdulillah saya benar-benar bersyukur, lebih-lebih lagi dengan adanya keluarga sekarang. Saya menikmati setiap rezeki yang Allah beri,” katanya.

MK berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran mini album penyanyi Indonesia, Datuk Seri Rossa berjudul Asmara Dansa yang berlangsung di The Five, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Bercerita mengenai sejauh mana dia menjaga privasi puteri tercintanya yang kini berusia setahun tiga bulan, MK memberitahu, dia tidak mempunyai masalah jika peminat ingin merakam gambar apabila terserempak dengan anaknya di luar.

Bagaimanapun, dia mengaku masih belum bersedia mendedahkan wajah anaknya kepada umum terutama di media sosial buat masa ini. 

ARTIKEL BERKAITAN: Mempunyai maksud indah dalam Islam, MK pilih nama Aya Rayana buat puteri sulung 

ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! MK dah jadi bapa, isteri selamat bersalin anak perempuan

“Kalau bawa anak keluar, saya tak tutup pun muka dia. Saya okay kalau peminat ambil gambar.

“Alhamdulillah, bila mereka ambil gambar, jarang sangat saya nampak gambar itu dimuat naik. Mereka hormat saya, mungkin mereka tunggu saya sendiri yang kongsi dulu.

“Saya tak larang pun mereka ambil gambar, cuma buat masa sekarang untuk hantaran peribadi, saya masih memilih untuk tidak dedahkan wajah anak,” katanya. 

Dalam pada itu, pelantun lagu Mimpi itu tidak menafikan salah satu sebab dia berhati-hati berkongsi wajah anaknya adalah kerana bimbang dengan penyakit ain serta penyalahgunaan gambar di era digital masa kini.

MK belum sedia kongsi wajah anak.

“Boleh dikatakan begitu, saya tak menafikan. Itu salah satu langkah saya untuk elak perkara yang tak diingini.

“Di media sosial macam-macam pandangan orang. Saya ada rasa takut, lebih-lebih lagi sekarang orang guna AI (kecerdasan buatan), macam-macam boleh berlaku,” katanya.

Untuk rekod, MK mendirikan rumah tangga dengan Siti Hajaar pada 16 Jun 2023. 

Pasangan ini menyambut kehadiran cahaya mata pertama mereka pada 3 Ogos tahun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain