USAHA 10 tahun membangunkan syarikat produksi Jaja Ishak Channel (JIC) akhirnya berbayar apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Usahawan Wakaf MARA Madani Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024-2025.
Pengiktirafan itu disampaikan pada Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada malam Rabu.
Menurut penerbitnya, Jaja Ishak, kemenangan tersebut amat bermakna kerana kategori itu merupakan anugerah baharu yang diperkenalkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi mengiktiraf usahawan yang memberi semula kepada masyarakat.
“Alhamdulillah syarikat kami JIC terpilih sebagai pemenang. Sudah tentu saya sangat gembira dan terharu kerana perjalanan membangunkan syarikat ini bukan sesuatu yang mudah.

Jaja menyifatkan kemenangan itu sebagai pengalaman terindah.
“Saya berasal daripada keluarga yang sederhana. Mak dan ayah bekerja sebagai peneroka kelapa sawit.
“Saya masih ingat masa nak sambung belajar ke universiti, kami sekeluarga kutip buah sawit relai dan angkat pelepah kelapa sawit di ladang,” katanya.
Menurut Jaja, pesanan kedua ibu bapa membuatkan dia sentiasa terpanggil untuk berkongsi rezeki apabila memiliki pendapatan yang lebih baik.
“Mak dan ayah selalu pesan, tak semestinya bila kita dapat duit banyak, kita kena beri banyak. Kalau ada sikit, beri sikit. Apa yang penting sentiasa memberi dan istiqamah,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pernah hadap artis malas promosi, Jaja Ishak cari 12 penyanyi berdisiplin... “Tidak kiralah daripada golongan T20, M40 atau B40”
ARTIKEL BERKAITAN: Jaja Ishak memang pilih bulu, utama pelakon anak jati Pahang dalam drama terbitannya
Dalam masa sama, Jaja mengakui dunia perniagaan khususnya dalam bidang penerbitan tidak pernah menjanjikan perjalanan yang mudah.
“Kalau diberi pilihan antara berniaga atau makan gaji, saya lebih sanggup makan gaji sebab saya pernah berada di titik paling bawah.
"Saya pernah tiada duit sampai dikejar pegawai bank, pelabur dan rakan-rakan sebab tak tahu pasang surut dalam industri kreatif ketika itu.
“Kadang-kadang tawaran kerja tak menentu. Tetapi Alhamdulillah, MARA datang membantu dan beri dorongan untuk saya bangkit semula.

Jaja mengimbau kembali kepayahan membangunkan syarikat JIC.
“Sebenarnya bila kita susah, masih ada ruang untuk bertemu rakan-rakan dan agensi kerajaan yang sudi membantu,” katanya.
JIC antara 24 usahawan dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang dinobatkan sebagai penerima AURA di peringkat negeri.
Menerusi Aura, sebanyak 12 kategori dipertandingkan, antaranya Anugerah tokoh usahawan MARA, Anugerah Khas Usahawan Wakaf Mara, Anugerah Jenama Terbaik, Anugerah Usahawan Aspirasi Wanita dan Anugerah Program Khas Usahawan.
Acara itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang.
Selain Jaja, hadir sama menerima anugerah itu ialah Pengurus JIC, Didi Zakil.


