PENYANYI Aina Abdul enggan mendabik dada meskipun menerima pujian luar biasa daripada peminat selepas dikatakan menjadi penyelamat pada konsert Ada Apa Dengan Melly...? Prom Nite yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil baru-baru ini.
Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, berkata, dia yang diundang sebagai penyanyi jemputan pada acara itu lebih mengetahui situasi sebenar yang berlaku kepada penyanyi Indonesia, Melly Goeslaw pada malam konsert tersebut.
Jelas Aina, keadaan kesihatan Melly yang kurang baik menjejaskan prestasinya di atas pentas.
“Saya tak mahu ulas tentang komen netizen. Saya ibarat pentingkan diri sendiri (dianggap penyelamat) kalau nak raikan perkara itu sedangkan saya sangat idolakan Melly.
Aina menghargai setiap komen positif yang diterima daripada peminat.
“Ramai tak nampak apa yang berlaku di belakang pentas, saya nampak sendiri keadaan Melly yang memang tidak sihat. Selama dua hingga tiga hari dia bertarung dengan masalah kesihatan,” katanya kepada mStar.
Aina memaklumkan perkara itu ketika ditemui pada sidang media program Raise The Star anjuran Astro di Petaling Jaya pada Khamis.
Dalam masa sama, Aina tidak menyangka dia menerima banyak maklum balas positif daripada netizen selepas membuat kemunculan di konsert tersebut.
Kata penyanyi lagu Kamu itu, dia menganggap segala pujian yang diterima sebagai satu hikmah selepas melalui tempoh yang cukup mencabar.
ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul penuhi impian komposer Indonesia, duet lagu ‘Arah Cinta Sejati’ bersama Fadhilah Intan
ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul tak berehat, sedang atur perjalanan seni... Dalam diam ‘bertapa’ untuk peminat
“Saya tak sangka orang boleh komen baik tentang saya. Sejak kemunculan di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) saya seperti dapat rasakan ramai yang dah tak suka saya.
“Perkara itu betul-betul ganggu fikiran selama beberapa bulan,” ujarnya.
Mengambil masa untuk memulihkan semangat, Aina berkata dia memilih untuk ‘bawa diri’ ke luar negara demi mencari inspirasi baharu dalam berkarya.
“Saya ke negara seberang untuk cari arah baharu. Saya perlukan semangat untuk teruskan minat dalam muzik.
“Apabila saya fikir semula, mungkin kesedihan saya sebelum ini tak sia-sia. Lambat-laun, orang akan terima dengan hati dan niat yang jujur,” ujarnya.
Aina (kanan) diundang sebagai penyanyi jemputan pada konsert Ada Apa Dengan Melly...? Prom Nite.
Terdahulu, konsert Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite pada 31 Mei lalu menerima kecaman susulan nyanyian Melly disifatkan tidak menepati jangkaan penonton.
Bagaimanapun, kemunculan pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 itu sebagai penyanyi jemputan menerusi lagu Cinta dianggap sebagai penyelamat konsert tersebut.
Untuk info, Aina bersama empat komposer lain iaitu Ajai, Audi Mok, Ikhwan Fatanna dan Shila Amzah bakal menjadi juri bagi program nyanyian baharu Astro, Raise The Star.
Program yang mempunyai seramai 30 peserta itu akan bersiaran bermula pada 22 Jun depan, setiap Ahad pukul 9 malam secara langsung di Astro Ria.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube