PUNCA pelakon Zamarul Hisham mengalami sesak nafas di set penggambaran drama di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Rabu lalu disebabkan serangan jantung.
Isterinya iaitu aktres Diana Rafar, 43, memaklumkan perkara itu selepas Zamarul selesai menjalani prosedur angiogram pada Jumaat.
"Selepas melakukan prosedur angiogram semalam (Jumaat), doktor mengesahkan punca Zamarul sesak nafas itu disebabkan serangan jantung," katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu.
Diana sering memaklumkan perkembangan terkini Zamarul di Instastory miliknya.
Diana bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keadaan terkini Zamarul kerana masih belum dapat berjumpa dengan doktor pakar.
Malah Zamarul, 54, sudah pun dipindahkan ke sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya dari Hospital Port Dickson namun masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Buat masa ini saya tidak boleh nak kongsikan tahap perkembangan kesihatan Zamarul kerana bimbang salah cakap pula. Cuma apa saya boleh katakan dia masih lagi dirawat di ICU.
ARTIKEL BERKAITAN: Zamarul Hisham dimasukkan ke ICU akibat sesak nafas, Diana Rafar kongsi perkembangan terkini suami
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Usia dah cecah 53 tahun, Zamarul Hisham masih dapat mesej berbaur godaan - “Sekarang ramai minat suami dan isteri orang”
"Dia masih belum boleh keluar dari ICU atau mendapatkan sebarang rawatan lain. Saya tidak berani nak cakap apa lagi kerana pagi ini saya masih belum berjumpa dengan doktor," ujarnya.
Diana sebaliknya akan memaklumkan perkembangan terkini pelakon drama Langit Ke Tujuh itu dan berharap doa orang ramai bagi kesembuhan suaminya.
"Saya masih mengharapkan doa daripada rakan-rakan dan peminat untuk diberikan kesembuhan buat suami.
"Insya-Allah saya akan maklumkan perkembangan Zamarul dari semasa ke semasa," katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!